Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) bercakap pada sidang media mengenai kejayaan operasi 'Club Rats' sambil diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman akan mengadakan perjumpaan dengan seramai 116 wakil syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran kurier.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Seri Mohd Khalil Kader Mohd berkata, perjumpaan khas itu adalah untuk membincangkan mengenai sindiket pengedar dadah yang kini menjadikan khidmat kurier sebagai rangkaian utama pengedaran dan penjualan dadah di negara ini.

Katanya, Pos Malaysia yang menyediakan perkhidmat Pos Laju juga dijemput ke mesyuarat yang akan diadakan pada 16 Januari ini.

“Saya nak tahu apa langkah-langkah yang diguna pakai pengendali khidmat penghantaran kurier untuk mengelak pengedaran dadah.

“Mungkin mereka ada Prosedur Operasi Standard tersendiri yang mungkin saya dan PDRM tidak tahu, maka perjumpaan ini perlu untuk berkongsi segala maklumat.

“Saya juga perlu mewujudkan hubungan repo baik kerjasama dengan mereka supaya mereka tahu ada saluran undang-undang yang boleh dirujuk dan daripada pergi sana sini, mereka ada PDRM untuk dirujuk bagi sebarang kemusykilan,” katanya pada sidang media pencapaian 2019 dan sasaran untuk 2020 PDRM di Bukit Aman hari ini.

Tambah Mohd Khalil, pihaknya sedar teknologi penguatkuasa sedia ada tidak seiring dengan kecanggihan teknologi yang digunakan sindiket pengedar dadah dan perjumpaan itu adalah untuk mematahkan rangkaian itu yang menjadi lebuh raya utama sindiket di negara ini.

Pada tahun ini, katanya, beliau mahu meningkatkan tangkapan pedagang dadah dan rampasan, mematikan sindiket dadah dan mengukuhkan interaksi bersama penguatkuasa antarabangsa serta membudayakan kerja sihat bagi elak anggota polis terjebak dalam dadah.

“Saya sedar wujudnya lebuh raya kurier ini yang melicinkan pengedaran dadah oleh sindiket di negara ini dan ada keperluan untuk mengenalpasti masalahnya.

Ditanya mengenai rampasan ketum dan rampasan, Mohd Khalil berkata,  polis kini menggerakkan penguatkuasaan untuk mematahkan sebarang aktiviti dan percubaan penanaman dan pejualannya ke negara jiran.

“Kita tak tahu apa rentak atau gelombang penggunaan daun ketum, sebab sedar akan wujud kemungkinan orang sini tanam dan eksport besar ke Thailand, maka perlu kita bertindak sekarang,

“Jika kerajaan kita nak tentukan sama ada kategorikan ketum dibawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) atau Akta Keracunan Negara, kita akan terus berbincang dan sentiasa berjaga,” katanya. – MalaysiaGazette