KUALA LUMPUR – Kenyataan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam temubual dengan Straits Times Singapore dianggap tidak lebih daripada satu penipuan semata-mata, kata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Malah dakwaan Jho Low kononnya hanya sekadar perantara bagi tawaran yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap mengarut.

Ini kerana dalang sebenar serta perancang utama skandal 1MDB adalah Jho Low, kata Muhammad Shafee.

Itu dakwaan peguambela Datuk Seri Najib Razak yang mewakili bekas perdana menteri yang dikaitkan dengan pelbagai jenis kes jenayah juga melibatkan Jho Low.

“Mengarut betul. Jika dia (Jho Low) cuba minimumkan peranan yang dimainkan olehnya, anda sendiri boleh faham, jelas sekali dia tidak bercakap benar.

“Mengikut pandangan saya, Jho Low adalah individu utama yang bukan sahaja menjadi perancangan sebaliknya juga penipu dan penyangak yang kini lari bersembunyi entah di mana.

“Jho Low adalah individu utama yang mengatur kesemua termasuk kroni sekelilingnya, pihak bank, institusi kewangan dan ramai lagi rakan-rakan sekutunya.

“Mereka-mereka ini bukan sahaja memainkan peranan dalam 1MDB sebaliknya juga SRC bersama-sama Jho Low. Nampak sangat Jho Low langsung tidak bercakap benar. Namun saya langsung tidak terkejut kerana rata-rata orang ini sudah hilangkan diri.

“Seperti Jasmine Loo, Casey Teng, Nik Faisal Nik Ariff, Terence Geh termasuk Jho Low,” katanya ketika di temui media selepas perbicaraan SRC International hari ini.

Hari ini dalam wawancara buat kali pertama melalui e mel kepada media Singapura, Jho Low memberitahu, beliau hanya bertindak sebagai perantara bagi tawaran yang melibatkan 1MDB.

Jho Low menafikan telah menetapkan peringkat tertentu untuk ‘mencuri’ berbilion-bilion dolar daripada syarikat berkenaan.

Ahli perniagaan yang masih lagi belum dapat diekstradisi ketika ini menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat dan Malaysia kerana melakukan penipuan membabitkan wang bernilai sehingga AS$ 4.5 bilion daripada 1MDB.

“Individu dan syarikat bertindak sebagai pengantar atau pengantara sepanjang masa. Ini bukan keadaan yang unik, saya diminta untuk membantu kerana hubungan baik saya dengan ahli perniagaan dan pembuat-pembuat keputusan asing yang berpengaruh,” dakwa Jho Low.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, untuk Jho Low mendakwa kononnya dirinya adalah mangsa bukan sahaja sesuatu yang menjelekkan tetapi sebenarnya ‘sampah’.

“Kononnya Jho Low jadi mangsa kerana bukan seorang ahli politik, dakwaan itu bagi saya adalah sampah sarap. Jika kamu bukan ahli politik, siapa yang hendak menjadikan kamu mangsa?

“Selalunya hanya ahli politik ini akan berdepan dengan masalah kerana adanya pencabar juga dalam kalangan ahli politik yang mahu menjatuhkan kamu. Jho Low sememangnya bukanlah ahli politik jadi siapa yang mengenakan dirinya?

“Tidak logik kononnya dia dibuli. Langsung tidak masuk akal. Sampah sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette

1MDB: Jho Low nafi bertindak sebagai perancang utama