JustGreat telah berjaya menguasai pasaran luar negara seperti Oman dan Macau.

KUALA LUMPUR – Hana Medic Sdn. Bhd., syarikat pengeluar dan pengedar peranti perubatan tempatan yakin dapat menjual produk minuman kesihatan, JustGreat lebih 500,000 unit sepanjang tahun ini.

Pengarah Urusannya, Prof Dr. Norayati Abd Majid berkata jumlah itu merupakan sasaran dua kali ganda jualan yang dijual pada tahun 2019.

Beliau berkata, angka itu mampu dicapai kerana pihaknya telah mendapat tempahan dari Kuwait selain telah berjaya menguasai pasaran luar seperti Oman dan Macau.

“JustGreat dijamin kualitinya hasil kajian bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) selama hampir sembilan tahun.

“Walaupun sudah menembusi pasaran antarabangsa, sehingga sekarang pun kami masih lagi menjalankan kajian terperinci mengenai sejauh mana produk JustGreat boleh menurunkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetis,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Prof Dr. Norayati Abd. Majid

Hana Medic berjaya mendapat hak milik tunggal untuk JustGreat pada awal tahun 2018 dan produk itu merupakan jus buah-buahan campuran menggunakan durian belanda, mangga dan limau kasturi serta madu tulen merupakan jus yang kaya antioksidan tinggi hasil kajian dengan kos pembangunan keseluruhan projek menelan RM2.5 juta.

Produk itu telah meraih tiga anugerah antarabangsa (Anugerah Emas dan Anugerah Emas Berganda di British Invention Show (BIS) 2012 dan Anugerah Cemerlang dalam iENA 2013) dan pelbagai anugerah tempatan yang lain dalam kategori inovasi dan teknologi.

Hasil penyelidikan kandungan asid fenolik bebas (sejenis antioksidan) dalam JustGreat menunjukkan keputusan lebih tinggi berbanding pelbagai produk import dan tempatan.

Selain itu, produk itu juga mengandungi 18 jenis vitamin dan nutrient penting yang diperlukan oleh badan manusia seperti vitamin B2, B3, B6, B7, B12, vitamin C, nitrogen, fosforus, potassium, kalsium, magnesium, natrium, sulfat, zink, mangan, besi, tembaga dan kromium.

Kesan positif pengambilan JustGreat turut membantu penurunan sel darah putih, penstabilan enzim dalam hati, penurunan kadar kolesterol, penurunan darah tinggi serta boleh meningkatkan enzim antioksidan dalam otak.

Hana Medic menghasilkan produk perubatan dan penjagaan diri seperti kapas perubatan, sanitizer, disinfektan, pencuci tangan anti-bakteria, shampoo, sabun dan krim badan.

Mengulas lanjut, Norayati menambah, berbanding dengan produk-produk antioksidan di pasaran, JustGreat merupakan produk yang telah terbukti secara klinikal dan memiliki kebaikannya dalam proses kebolehserapan dalam tubuh manusia.

Jelas beliau, pihaknya turut mempunyai ramai testimoni terutamanya di kalangan pesakit kanser yang telah menunjukkan perkembangan positif selepas mengamalkan produk itu.

“Kami telah mencuba banyak buah-buahan tempatan dalam kajian tetapi khasiat buah iaitu mangga, durian belanda dan limau kasturi merupakan agen aktioksidan yang terbaik,” katanya.

Untuk pasaran tempatan, Hana Medic memasarkan JustGreat melalui konsep ejen dan stokis.

Mereka yang berminat untuk menjadi stokis atau ejen JustGreat, boleh menghubungi talian 06-794 2018 atau melayari www.justgreat.my untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Hana Medic yang 100 peratus milik Bumiputera ini ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Norayati yang mempunyai pengalaman sebagai bekas Dekan Fakulti Sains Kesihatan di Universiti Malaya.

Syarikat itu menghasilkan produk perubatan dan penjagaan diri seperti kapas perubatan, sanitizer, disinfektan, pencuci tangan anti-bakteria, shampoo, sabun, krim badan dan juice bagi kegunaan hospital dan pengguna biasa.

Antara pelanggan mereka adalah Hospital Kuala Lumpur, KPJ Healthcare, Tabung Haji, Tesco dan Giant.

Produk mereka digunakan secara meluas di dalam dan luar negara dan antara kejayaan terbesar Hana Medic apabila telah berjaya mencipta sanitizer tanpa kandungan alkohol untuk pasaran halal. – MalaysiaGazette