KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kewajaran mengapa beliau bersama isterinya tidak boleh berbual tentang kehidupan harian.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan demikian ketika ditanya wartawan mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman perbualan telefon yang dipercayai dirakam pada 2016.

Malah rakaman antara Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta individu lain dilakukan melalui cara pintasan perbualan telefon atau ‘phone tapping’.

Salah satu rakaman audio itu adalah perbualan antara Najib dan Rosmah berhubung beberapa pemimpin negara.

Wartawan: Kedengaran seperti isteri anda memarahi anda.

Najib: Tidak. Tidak ada soal dimarahi dalam perbualan itu. Itu adalah perbualan peribadi.

Kamu (wartawan) sendiri akan berbual secara peribadi dengan isteri tentang perkara-perkara yang berlaku harian bukan? Jadi apa salahnya perbualan itu?

Itu adalah kebebasan setiap rakyat di negara ini untuk berbual, janji anda tidak membocorkan apa-apa rahsia negara di khalayak ramai. Kami berbual perkara harian.

Wartawan: Beliau kelihatan seperti memberikan nasihat tentang hal ehwal negara? Bagaimana untuk mentadbir negara dan sebagainya?

Najib: Itu satu pandangan. Semua orang boleh beri pandangan masing-masing. Tetapi saya yang membuat keputusan mutlak.

Terdahulu, Rosmah yang juga hadir bagi mengikuti kes yang dihadapinya hanya sekadar memberitahu beliau tidak tahu tentang perkara tersebut dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan susulan.

“Peguam saya akan teliti dan kendalikan kes ini, terima kasih,” ujarnya.

SPRM melalui Pesuruhjayanya, Latheefa Koya hari ini mendedahkan sembilan rakaman yang menurutnya diterima daripada sumber tidak dikenali pada awal bulan ini.

Latheefa juga mendakwa serta mengesahkan rakaman tersebut adalah tulen dan ujian forensik menunjukkan tiada ubah suai terhadap rakaman itu.

Dalam pada itu, Najib juga mengesahkan pasukan undang-undangnya yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ini sedang meneliti setiap kandungan rakaman tersebut daripada semua aspek.

Malah bekas Perdana Menteri itu sempat bertanya kepada wartawan adalah tidak salah untuk merakam perbualan telefon seorang Perdana Menteri apatah lagi jika ianya juga berkaitan dengan perbualan dengan pemimpin negara lain.

“Apakah kamu rasa ini tidak salah? Adakah tidak salah untuk rakam perbualan seorang Perdana Menteri? Jadi selepas ini pada masa-masa akan datang semua perbualan Perdana Menteri boleh dirakam tanpa pengetahuan? Begitu?

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara malah ketika perbualan rakaman itu dilakukan, saya adalah ‘sitting Prime Minister’. Sama ada mana-mana pihak ada hak untuk lakukan ‘wire tapping’ perbualan oleh seorang Perdana Menteri lagi-lagi dengan Ketua Kerajaan yang lain.

“Ini boleh beri kesan kepada hubungan diplomatik dengan Malaysia dan negara lain. Kenapa dan mengapa rakaman audio ini dikeluarkan ketika PRK Kimanis, apakah motifnya lagi-lagi ini berlaku lima tahun lepas.

“Banyak persoalan yang kita perlu beri jawapan yang tuntas. Kita sedang kaji kandungan semua audio tersebut,” tegasnya. –MalaysiaGazette