Datuk Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan siapa dalang di sebalik dakwaan Muhamed Yusoff Rawther.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Presiden PKR itu perlu berbuat demikian bagi mempertahankan diri.

“Ini bukan soal politik tetapi ini soal akidah agama.

“Lihat saja sehingga kini semua orang minta Anwar sumpah laknat bahawa dia tidak pernah meliwat, sekalipun dia tidak pernah menyahut seruan dan nasihat tersebut ke arah membersihkan namanya dari 1998 sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mendakwa beliau mengetahui siapa dalang kes dakwaan seksual mengaitkan dirinya namun tidak mendedahkannya.

Bagaimanapun, Khairuddin juga mengingatkan Anwar yang Yusoff membuat tuduhan itu di bawah akuan bersumpah.

“Andai kata itu fitnah, Anwar harus saman malu terhadap Yusoff atau Anwar sendiri harus buat laporan polis terhadap bekas ‘research officer’ dia,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Anwar masih enggan menjalani ujian poligraf dalam siasatan terhadapnya melibatkan aduan Muhammed Yusoff.

Khairuddin juga hairan hujah presiden PKR itu yang tiada asas baginya menjalani ujian poligraf.

“Bagi membuktikan dia bercakap benar dalam penafiannya, lebih baik Anwar buktikan kepada rakyat bahawa dia pun berani menjalani ujian poligraf secara sukarela sepertimana yang dilakukan Yusoff,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, beliau tidak perlu menjalani ujian poligraf kerana tidak ada keterangan saksi dan lokasi untuk menyokong aduan serangan seks dibuat Yusoff terhadapnya.

Yusoff telah menjalani ujian poligraf pada 17 Disember lalu, sebahagian daripada siasatan polis di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Polis baru-baru ini memberitahu keputusan ujian itu akan dikongsi bersama Peguam Negara, Tommy Thomas tetapi tidak akan didedahkan kepada umum

Anwar semalam berkata sehingga kini tiada permintaan polis untuk beliau melakukan ujian poligraf, tetapi berjanji memberi kerjasama dalam siasatan kes itu.- MalaysiaGazette