Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini menafikan kritikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan hilang arah tuju.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 baharu sahaja dilancarkan beberapa bulan lalu.

Rangka kerja itu membolehkan rakyat di negara ini berkongsi kekayaan secara adil selain memulihkan semula ekonomi.

“Tuduhan bahawa Kerajaan PH ini tidak ada arah dilakukan oleh individu yang enggan mengakui realiti.

“Adakah kita sama dengan Malaysia di bawah Kerajaan sebelumnya? Atau mereka mengatakan mereka lebih suka Kerajaan kleptokratik lebih baik.,” katanya dalam satu kenyataan menerusi blog beliau.

Lantaran itu, Dr Mahathir meminta sedikit masa dan menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam dasar-dasar Wawasan Kemakmuran Bersama.

“Nanti dalam masa dua tahun, anda akan menyedari bahawa kerajaan berada dalam hala tuju yang betul.”

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan pada bulan Oktober tahun lalu bertujuan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih adil dan menambah nilai kepada ekonomi.

Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur asing.

Yang lebih utama, wawasan itu mensasarkan Malaysia mencapai RM3.4 trilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),

Dr Mahathir turut mempertahankan bahawa ekonomi negara masih berkembang dengan kadar yang baik bagi sebuah negara membangun walaupun terdapat aliran keluar dana asing dan susut nilai ringgit.

Malaysia, katanya, masih mempunyai tabungan yang tinggi, dengan rizab Bank Negara adalah “sangat tinggi” pada lebih daripada RM400 bilion manakala dana-dana lain seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melebihi RM1.5 trilion.

Aset asing juga masih besar, kata Mahathir.

Malah, Petronas berjaya meraih pendapatan melebihi RM100 bilion.

Menurut beliau, di kebanyakan negara lain, saiz rizab ini akan menjamin kekuatan mata wang negara.

“Secara fakta ekonomi Malaysia dan mata wangnya kukuh. Walaupun pasaran dan pengkritik mungkin tidak fikir begitu. tetapi kerajaan mempunyai keyakinan terhadap dasar kewangan dan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette