Ketua Wirawati Parti Putra, Dr Asmah Razalli.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Parti Putra Malaysia menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menghina institusi raja menerusi saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Ketua penaja pergerakan itu, Dr. Asmah Razalli berkata, tindakan beberapa netizen biadab terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempertahankan tulisan Jawi sepatutnya diambil tindakan tegas.

Katanya, walaupun pandangan baginda itu baik tetapi ada sesetengah pihak cuba mengheret Raja Permaisuri Agong ke kancah politik sehingga mencemarkan nama baik institusi raja.

“Parti Putra tidak akan berdiamkan diri apabila institusi diraja dipermainkan dihina oleh rakyat yang tidak tahu menghormati, tidak beradab dan tiada taat setia kepada raja.

“Penghinaan secara terang-terangan ke atas Raja Permaisuri Agong di media sosial terutama Facebook dan Twitter hanya kerana baginda mempertahankan tulisan Jawi dan bahasa Melayu merupakan tamparan hebat kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berhubung surat dari parti Putra ke sebuah sekolah di Puchong yang menegur pemasangan tanglung secara keterlaluan, Asmah berkata, disebabkan teguran itu, Timbalan Perdana Menteri dan sekurang-kurangnya tujuh menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) turun untuk memberi sokongan kepada pengurusan ke sekolah berkenaan.

“Peliknya apabila tulisan Jawi dihina, dibantah, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan menteri kabinet PH yang Melayu berdiam diri, tetapi apabila soal pemasangan tanglung disentuh, mereka ini terus melompat.

“Dalam hal ini, Pergerakan Wirawati berjanji tidak akan biarkan Raja Permaisuri Agong berseorangan dalam memartabatkan warisan bangsa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast