Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media pada Ceramah Perdana DUN Membakut sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Binsulok, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 10 JANUARI 2020

KIMANIS – Tiada niat jahat mahupun menuduh sesiapa pun ekoran kenyataannya yang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dianggap sebagai perlawanan antara Malaysia dengan Filipina.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, beliau hanya menyampaikan apa yang dikatakan penduduk tempatan kepadanya pada hari penamaan calon.

“Saya menyatakan secara berseloroh malam itu bahawa pagi pada penamaan calon itu ada seorang pak cik bagi tahu saya bahawa pagi ini umpama pasukan Malaysia baju biru itu lawan Filipina baju putih, itu saja.

“Saya mengatakan apa yang pak cik itu kata, saya bukan menuduh sesiapa. Tidak ada niat mengatakan atau bermaksud jahat, saya tak tuduh.

“Saya berseloroh memanjangkan apa yang pak cik itu cakap, kalau pak cik itu cakap macam itu, saya panjangkan sahaja, bukan saya yang cakap,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah PDM Binsulok di Kampung Tengah semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berang dengan kenyataannya sehingga ingin mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Shafie, kenyataan Mohamad itu seolah-olah cuba memfitnahnya sebagai warganegara Filipina sedangkan keluarga dan keturunannya berasal dari Semporna Sabah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shafie mahu peguam teliti sebelum saman Tok Mat