Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Lagenda Bola Sepak Negara, Datuk Soh Chin Aun hadir pada Perasmian Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 anjuran Parti Amanah Shah Alam di Stadium Rhino KV Arena, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyambut baik kehadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naibnya, Zuraida Kamaruddin ke mesyuarat Biro Politik parti itu minggu lalu.

Saifuddin berkata beliau mengharapkan agar perkembangan itu terus kekal positif demi kemakmuran parti.

“Saya harap itulah yang sebaik-baik, kewajipan pimpinan yang dipilih oleh ahli mengangkat kita untuk satu-satu jawatan.

“Pelantikan itu adalah amanah setiap ahli, dan itu harus disertai dengan menjaga amanah itu dan menjalankan tanggungjawab itu dengan cara dengan mengambil bahagian dalam setiap mesyuarat utama parti. Mesyuarat berlangsung secara mingguan dan bulanan.

“Jadual telah kita hebahkan setahun lebih awal, jadi itu sebaik-baik dan saya harap berkekalan,” katanya kepada media dalam satu acara hari ini.

Khamis lalu, Azmin dan Zuraida dilihat membuat kejutan apabila hadir mesyuarat Biro Politik parti.

Kedua-dua mereka sebelum ini mereka gagal hadir dalam tempoh yang panjang untuk mesyuarat biro politik parti.

Malah isu itu turut mendapat perhatian daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemelut dalaman PKR bukan lagi rahsia apabila menjadi persaingan terbuka sejak parti itu mengadakan pemilihan bagi semua peringkat kira-kira dua tahun lalu dan keadaan lebih meruncing baru-baru ini.

Keadaan turut menyaksikan ahli parti terbahagi kepada dua kumpulan iaitu penyokong Anwar dan Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Situasi memuncak semasa Kongres Nasional PKR Ke-14 di Ayer Keroh, Melaka Disember lalu, apabila kem Azmin tidak hadir pada hari terakhir kongres dan bertindak mengadakan majlis sendiri di ibu kota bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Antara yang hadir dua lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua serta Ali Biju. -MalaysiaGazette