Paulo Goncalves

Riyadh- Pelumba motosikal Rali Dakar, Paulo Goncalves meninggal dunia hari ini selepas terlibat dalam kemalangan di Arab Saudi, kata penganjur.

Penunggang berusia 40 tahun warga Portugis yang menyertai Rali Dakar kali ke-13 sejak tampil buat pertama kali pada 2006 itu terjatuh selepas menungang sejauh 276 kilometer pada peringkat khas dari Riyadh ke Wadi Al Dawasir.

“Pihak penganjur menerima amaran pada pukul 10.08 pagi dan mengerahkan helikopter perubatan yang tiba di lokasi penunggang pada pukul 10.16 pagi dan mendapati beliau tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan jantung,” kata penganjur dalam satu kenyataan hari ini.

“Selepas usaha pemulihan dilakukan, peserta dibawa dengan helikopter ke Hospital Layla di mana beliau disahkan meninggal dunia.

“Semua yang terlibat dengan Dakar mengucapkan takziah kepada rakan dan keluarga beliau,”.

Goncalves merupakan peserta pertama meninggal dunia dalam perlumbaan itu sejak penunggang motosikaa warga Poland, Michal Hernik maut di Argentina pada 2015.

Warga Portugis itu menamatkan perlumbaan pada kedudukan 10 teratas pada empat Rali Dakar dan menduduki tempat kedua pada 2015 di belakang pelumba Sepanyol, Marc Coma yang turut bertanding pada tahun ini sebagai pembantu pemandu kepada juara Formula Satu, Fernando Alonso.

Pada Jumaat lalu, Goncalves mengalami masalah mekanikal yang memerlukan pertukaran enjin motosikalnya bagi membolehkan beliau terus berlumba, dan jatuh pada kedudukan ke-46 selepas pusingan ke enam.

“Sasaran saya kini ialah melakukan yang terbaik kerana pada akhirnya, tiada jalan untuk mendapatkan keputusan yang baik. Bagaimanapun saya akan melakukan sebaik mungkin setiap hari dan itu yang akan saya lakukan,” kata Goncalves.

Pelumba berpengalaman itu telah berlumba di tiga benua pada Rali Dakkar, dari lokasi asal di Afrika ke Amerika Selatan dan pada tahun ini ia merupakan penampilan pertama di Timur Tengah. – Agensi