Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang ketika hadir bagi memberi kenyataan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Saksi keenam perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari ketujuh prosiding hari ini mendedahkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang begitu kecewa dengan pindaan laporan itu.

Malah dakwa Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, pada mulanya beliau tidak menyedari reaksi Ambrin kerana sibuk dengan kerja-kerja mendokumentasi maklumat ketika mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB pada 24 Februari 2016.

Bagaimanapun sejurus pulang ke pejabat, kata Saadatul yang merupakan bekas Pengarah Aduit sebelum bersara pada Mei 2016 mendakwa menyedari Ambrin kecewa dan seolah-olah terjejas dengan arahan pindaan laporan audit 1MDB itu.

“Yang sedang tunggu di luar pejabat sedar dengan raut wajah Tan Sri Ambrin, saya sibuk sekejap kerana ada tugas memproses dokumen, ambil nota serta terlibat dengan perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

“Seramai tujuh orang dari pasukan kami yang hadir ke mesyuarat khas audit itu bersama-sama dokumen serta kertas kerja audit namun hanya saya dan Tan Sri Ambrin diminta menghadiri mesyuarat itu oleh Tan Sri Ali Hamsa. Yang lain tunggu di luar.

“Hanya apabila pulang kembali ke pejabat saya sedar Tan Sri Ambrin nampak begitu kecewa, terjejas dan sedih. Sebagai Ketua Audit Negara, sememangnya beliau tidak gembira dengan semua arahan pindaan itu,” katanya di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Sebelum ini, Ambrin ada memberitahu mahkamah sememangnya beliau tidak menyangka menerima arahan seperti melakukan pindaan walhal beliau telah memberikan masa yang cukup panjang kepada pengurusan 1MDB memberikan semua maklumat dikehendaki oleh pihaknya.

Dalam pada itu, kata Saadatul lagi, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa juga meminta supaya Laporan Akhir Audit 1MDB tidak dicetak sehingga mendapat persetujuan daripada Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pada perbicaraan hari ini mahkamah diperdengarkan audio rakaman yang telah dirakamkan secara rahsia oleh oleh pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani pada tahun 2016 pada mesyuarat tersebut. –MalaysiaGazette