Gambar dan video tular menunjukkan dua kakitangan yang diletakkan bagi mengimbas haba untuk mengesan penyakit berjangkit di KLIA2 tidur manakala seorang lagi leka dengan bermain telefon bimbit.

PUTARAJAYA – Dua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjadi pengendali pengimbas haba di klia2 telah diberikan surat tunjuk sebab.

Mereka perlu menjawab tindakan mereka yang didapati tidur dan bermain telefon bimbit ketika sedang bertugas.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua kakitangan terbabit turut diberi amaran selepas KKM menjalankan siasatan berdasarkan video yang menunjukkan sikap mereka hingga menjadi tular di laman sosial.

“Saya telah dimaklumkan dan saya sendiri telah menonton video klip itu dan pastinya ia telah memberikan satu persepsi yang tidak baik.

“Walaupun yang tidur itu saya tidak pasti apa keadaan sebenarnya, saya boleh berbaik sangka kalau dia tidak sihat tetapi yang main telefon itu mungkin kita tak boleh ambil mudah.

“Apapun, secara ringkasnya, kita perlu pertingkatkan disiplin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2020 di kementeriannya hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kesihatan Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 13 JANUARI 2020.

Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu rakaman video menunjukkan dua kakitangan yang diletakkan bagi mengimbas haba untuk mengesan penyakit berjangkit di KLIA2 tidur manakala seorang lagi leka dengan bermain telefon bimbit.

Video mereka tersebar di media sosial hingga menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan pelancong-pelancong yang menghidap penyakit berjangkit melepasi langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan KKM disebalik kebimbangan mengenai wabak influenza dan polio di Sabah.

Pengimbas haba dipasang di lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang penyebaran penyakit berjangkit, membolehkan kakitangan menghalang mana-mana orang dengan suhu badan melebihi 37 darjah selcius memasuki negara.

Minggu lalu, sebanyak dua kes polio dikesan di Sabah melibatkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Kinabatangan dan seorang lagi berusia 8 tahun dari Sandakan.

Pada masa ini terdapat ramai pesakit dirawat kerana didapati dijangkiti Influenza A.

Beberapa klinik swasta dilapor mengalami kekurangan ubat-ubat virus selsema hingga menimbulkan suasana cemas di berapa tempat akibat masalah yang berlaku itu.

Kerajaan menerusi KKM telah bertindak dengan mengambil langkah berjaga-jaga apabila memasang pengimbas haba di lapangan terbang bagi mengesan pesakit agar tidak terlepas keluar. – MalaysiaGazette