Jurucakap Gagasan Sejahtera, Kamarulzaman Mohamad bercakap pada sidang media perkembangan terkini Gagasan Sejahtera di Pusat Media, Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25  perlu diharamkan kerajaan kerana dipercayai membawa pemikiran bahaya dan sesat yang boleh ‘meracuni’ pemikiran rakyat Malaysia.

“Terang lagi bersuluh, G25 adalah sebuah kumpulan yang semakin berani membawa ideologi sekular yang berbahaya kepada umat Islam di Malaysia.

“Kumpulan ini berpendirian bahawa segala salah laku di sisi agama tidak seharusnya dikenakan tindakan kerana ” itu urusan individu dengan Tuhan”.

“Prinsip yang menyimpang dari agama ini diperjuangkan bagi merealisasikan kebebasan bersuara mereka,” kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Syura Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, pendirian G25 menolak hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang Islam menunjukkan mereka “sesat dan tersasar”.

Ia ekoran kenyataan G25 yang berkata, pelbagai undang-undang di bawah kerajaan negeri yang menghukum individu murtad sama ada melalui denda, penjara atau pemulihan adalah tidak konsisten dengan perlembagaan persekutuan, yang menjamin kebebasan beragama.

Beliau juga berkata, dari perspektif Islam, tiada sesiapa yang boleh dipaksa untuk mempercayai Tuhan dan terus memeluk agama Islam, walaupun menambah bahawa perbuatan meninggalkan agama itu adalah “sesuatu yang dikesali”.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, G25 semakin lantang bersuara dalam mengeluarkan kenyataan mempersendakan hukum murtad dengan menyatakan ia isu peribadi serta tiada hukuman duniawi sedangkan Islam meletakkan hukuman yang sangat tegas kepada pelaku murtad.

Ini kerana katanya, disebabkan oleh sikap keterbukaan melampau kerajaan PH yang tidak mencecah perkara ini daripada terus menular sebelum ini.

“Kenyataan-kenyataan seperti khalwat, zina, minum arak dan sebagainya yang menunjukkan betapa jahilnya mereka di dalam menilai hukum agama Islam serta Perlembagaan Negara.

“Turut membimbangkan, G25 sering kali menentang apa sahaja tindakan JAKIM bagi merealisasikan agenda negara sekular mereka bahawasanya tiada badan beragama dalam sesebuah negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.