Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media selepas hadir melawat pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang mengalami kemalangan di Hospital Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 14 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota kini dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan rapi di Hospital Putrajaya.

Perkara itu dimaklumkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, tidak ada sebarang perkara yang serius dihadapi oleh pemain badminton itu sebaliknya hanya  memerlukan masa agar bengkak di mukanya berkurangan sebelum dibenarkan keluar.

“Alhamdulillah dia berada dalam keadaan stabil. Doktor yang merawat kata masalah yang dialami boleh diatasi dan dia memerlukan sedikit masa untuk bengkak itu berkurang, dia baik tiada apa-apa,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah meluangkan masa selama 20 minit untuk menziarahi Momota yang kini sedang menerima rawatan di wad akibat kemalangan yang awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 pagi Isnin, Momota bersama tiga mangsa iaitu Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35; dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi, 42 terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX),

Kejadian berlaku apabila van yang dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemandu van berkenaan, B. Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang merupakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia berkata, pihaknya kesal terhadap insiden yang menimpa pemain terbabit.

Ujarnya, ketika bertemu Momota, pemain tersebut berkata, dia mendapat rawatan yang terbaik daripada pihak hospital berkenaan.

Wan Azizah turut memberitahu kepada Momota agar dia menggunakan madu kelulut agar kesihatannya kembali pulih ekoran khasiat yang terkandung dalam madu berkenaan. – MalaysiaGazette