Mohd Shaid Rosli

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) diminta tidak bersandiwara dan perlu segera mengeluarkan kenyataan supaya mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan atau mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli menegaskan, Majlis Presiden PH juga perlu memikirkan cara terbaik memberi nasihat kepada orang bawahan agar tidak menjadi kurang ajar dalam isu berkenaan.

“Jangan hanya bersandiwara dan memperlekehkan nilai seorang negarawan.

“Jangan hanya tahu mendesak, tetapi apabila disuruh membuat satu keputusan, Majlis Presiden PH sendiri tidak berani.

“Saya tidak sanggup melihat pimpinan nombor satu negara yang juga tokoh utama Bersatu disindir seolah-olah tidak bermaruah,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini Dr Mahathir menegaskan, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.

Katanya, jika Majlis Presiden PH mencapai kata persetujuan untuk beliau berundur, beliau tidak akan membantah.

Mengulas lanjut, Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram menerusi kenyataan sama menjelaskan, apa yang berlaku pada masa ini ialah seolah-olah memberikan gambaran bahawa pimpinan bawahan tidak faham atau sengaja tidak faham tentang kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai wakil rakyat PH yang duduk sebumbung atas nama komponen PH, seharusnya kita semua perlu faham bahawa hormatkan pemimpin itu adalah keutamaan.

“Adalah satu tindakan yang kurang sihat atau lebih tepat agak kurang ajar apabila ada segelintir pimpinan komponen PH membuat kenyataan secara terbuka di dalam forum, akhbar, portal dan sebagainya mendesak Dr Mahathir mengotakan janji melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepatutnya, semua sedia maklum bahawa keputusan Majlis Presiden PH adalah muktamad dalam hal ini,” tambah beliau.

Shaid turut menegaskan agar Majlis Presiden PH mendesak Dr Mahathir melepaskan jawatan jika benar-benar berani membuat keputusan berkenaan.

“Jika tidak kamu buat satu kenyataan bersama Majllis Presiden mahukan Dr Mahathir kekal menjadi Perdana Menteri sehingga satu masa yang sesuai untuk diserahkan kepada penggantinya,” katanya. – MalaysiaGazette