Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (kanan) melihat replika yang dipamerkan pada Majlis Perasmian Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersempena sambutan Ulangtahun Ke-70 TNB di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kejayaan yang banyak dicapai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah hasil daripada keberanian syarikat itu melakar perubahan yang kadangkala dianggap melawan arus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kecekalan syarikat utiliti itu mengejar rangkaian cita-cita turut menjadi antara pemacu utama kejayaannya sehingga mendapat pengiktirafan di persada antarabangsa.

“Bank Dunia dalam laporannya, Doing Business 2020, menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga keempat bagi urusan mendapatkan elektrik.

“Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara dan ekonomi, justeru pencapaian kita adalah lonjakan besar berbanding kali pertama dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011 yang mana kita berada di tangga ke-60.

“Saya turut dimaklumkan, TNB semakin dikenali di luar negara dengan pembabitan dalam bidang penjanaan di seberang laut, termasuk di United Kingdom dan Turki.

“Malah, sudah tiga kali TNB merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada Anugerah Penjenamaan Dunia dengan terbaru pada 2019,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Balai Islam TNB, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan (kanan) malawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersempena sambutan Ulangtahun Ke-70 TNB di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JANUARI 2020

Dengan bercirikan konsep seni bina yang diterap elemen kesederhanaan, prinsip Islam dan mesra alam sekitar, Dr Mahathir turut mengumumkan nama baharu bangunan terbabit sebagai Kompleks Balai Islam An-Nur.

Perasmian oleh Dr Mahathir itu disifatkan melakar sejarah baharu kerana beliau pernah mengumumkan syarikat utiliti berkenaan sebagai pengganti Lembaga Letrik Negara (LLN) di Kompleks Sukan TNB, Bangsar, pada 1 September 1990 ketika beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Keempat, susulan pengkorporatan badan terbabit menerusi Dasar Penswastaan Malaysia.

Dengan merakamkan ucapan tahniah, Dr Mahathir turut menghargai usaha TNB kerana terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara.

“Kejayaan ini meletakkan TNB sebagai antara ‘cerita kejayaan’ dasar dan program penswastaan yang kita perkenalkan.

“Ia secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat,” ujarnya.
Dr Mahathir turut berkata, TNB kini merupakan sebuah GLC berperanan penting bagi memangkin kemajuan negara sepanjang 70 tahun.
– MalaysiaGazette