Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pusat Komersil Kimanis, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2020

KIMANIS – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa Pas Sementara Sabah (PSS) tidak disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah.

Beliau berkata, sebagai pengerusi jawatankuasa induk ketika itu, tiada satu cadangan pun daripada RCI, apatah lagi jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal mengenai pengwujudan PSS.

“Ternyata menteri persekutuan, ketua menteri yang mengeluarkan kenyataan bahawa BN yang mewujudkan PSS adalah kenyataan yang tidak benar dan harus ditolak sama sekali.

“Sepatutnya kesilapan yang dilakukan oleh mereka harus diakui sebagai kesilapan, harga yang harus dibayar oleh mereka ialah bahawa dengan menentukan pada 18 Januari nanti pengundi-pengundi Kimanis terpaksa menolak calon Warisan,” katanya pada Himpunan Muafakat Rakyat Sabah di sini, malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Pairin Kiringan hari ini yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa PSS telah diluluskan oleh Barisan Nasional (BN) iaitu ketika beliau mentadbir Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut Pairin, dakwaan itu tidak berasas kerana beliau tidak mempengerusikan RCI bagi menangani PTI di Sabah ketika itu.

“PSS tidak wujud dalam kita punya buku, laporan RCI. Yang tersebut dalam buku ini adalah mengenai Pas Residen, bukan PSS. Mereka (Warisan) telah mengatakan RCI telah mencadangkan kewujudan PSS.

“Bila saya semak dalam laporan itu, saya tak nampak PSS malah nama saya pun tidak terlibat. Bagaimana PSS ini dikatakan mula daripada BN, sedangkan RCI ini saya bukan pengerusi, di mana ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette