Calon BN, Datuk Mohamad Alamin bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2020

BEAUFORT – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini membuktikan majoriti rakyat Sabah menolak pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sebagai menghormati keputusan rakyat hari ini, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat perlu membatalkan serta-merta pengenalan PSS.

“Dengan keputusan yang jelas ini dengan majoriti yang meyakinkan bahawa pengundi-pengundi di sini telah menolak hasrat kerajaan untuk melaksanakan PSS.

“Jadi apa yang patut mereka lakukan ialah untuk menghormati keputusan rakyat dan pengundi serta mengumumkan bahawa PSS akan dibatalkan,” katanya kepada pemberita di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini, malam ini.

Terdahulu, Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jupery Etok mengumumkan bahawa PRK P176 Kimanis dimenangi oleh Mohamad dengan majoriti 1,913 undi.

Mohamad memperoleh 12,414 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,501 undi.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, kemenangan itu juga mencerminkan aspirasi dan kehendak rakyat bukan sahaja dalam konteks Kimanis bahkan kepada Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

“Saya telah menyatakan bahawa pengundi di Kimanis ini ada tanggungjawab moral sebab isu-isu yang berbangkit dalam pilihan raya ini isu yang berkisar kepada pengundi Kimanis sahaja, tetapi untuk rakyat Sabah dan negara pada amnya,” katanya.

Katanya lagi, keputusan itu juga memberi mesej jelas kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar mereka meneruskan projek-projek yang memberi impak kepada sosio ekonomi rakyat.

“Dengan keputusan ini juga bererti bahawa projek-projek terbengkalai yang tak dilaksanakan dengan lancar khususnya Lebuhraya PAN Borneo, ini amat dekat dengan hati rakyat di Kimanis dan Sabah pada keseluruhannya.

“Projek ini hendaklah disambung semula dengan segera dan jangan dilenggah-lenggahkan lagi sebab inilah projek yang akan mengubah keadaan sosio ekonomi di Sabah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette