PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Op Ice Breaker (OIB) 2.0 dan Op Damn Tokan (ODT) 4.0 yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan bermula 1 Januari hingga semalam menahan 12 pengedar dadah di beberapa lokasi di negeri ini.

Ketua JSJN negeri, Supt Pang Jin Lai berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM32,000.

Mereka, yang berumur antara 25 hingga 52 tahun, ditahan di empat daerah iaitu Tampin seramai 2 orang, Seremban (6) Jempol (3) dan Port Dickson seorang, bersama-sama dadah iaitu syabu seberat 230.1 gram, heroin (167.6 gram) dan ganja seberat 58 gram, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 20 tangkapan di bawah Op Double Dose dilaksanakan dengan tangkapan melibatkan penagih dadah tegar dan berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita amat serius dalam misi membanteras dadah secara habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar dadah yang bergiat aktif di seluruh negeri ini serta melumpuhkan kedudukan kewangan pengedar secara menyita harta dimiliki melalui Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan harta) 1988. – Bernama