Ir. Khairil Nizam

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia mempersoalkan langkah pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung pertemuannya dengan pertubuhan Dong Jiao Zong yang tidak mengundang pihak paling berkepentingan dalam polemik isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pertemuan yang diadakan oleh Mujahid itu bakal mengikat pihak-pihak berkepentingan berkenaan apabila kerajaan diwakili oleh menteri yang tidak ada kaitan dan bidang kuasa terhadap pembelajaran Jawi di sekolah vernakular itu.

“Timbul juga kerisauan kami berkenaan pertemuan semalam apabila Kementerian Pendidikan tidak dilibatkan dalam pertemuan, sedangkan merekalah sebenarnya pihak yang paling berkepentingan dalam isu ini.

“Isu pembelajaran Jawi di sekolah Vernakular bukan di bawah bidang tugas JPM (Agama), tetapi di bawah KPM.

“Malah, menteri di JPM, Perpaduan (P. Waytha Moorthy) juga tidak dilibatkan sama, sedangkan sebelum ini beliaulah yang menganjurkan dialog berkenaan isu ini, oleh kerana isu ini telah menggugat perpaduan negara dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikannya. Namun Dong Zong ingkar dan enggan hadir pertemuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata, Pemuda Pas mengharapkan akan adanya tindakan susulan daripada pertemuan itu serta sejauh mana perjumpaan dan kesepakatan semalam mampu menyelesaikan isu polemik pembelajaran Jawi yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya turut mendesak Dong Jiao Zong agar mengambil langkah segera untuk membetulkan kesalahan fahaman yang mereka sendiri bawa kepada masyarakat bukan Islam berkenaan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Katanya lagi, Pemuda Pas turut mengharapkan agar semua pihak dapat mencapai kesepakatan dalam isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan menghentikan terus sebarang pemahaman salah serta mesej kebencian yang boleh menggugat perpaduan.

“Pemuda Pas bertegas bahawa tulisan Jawi adalah suatu warisan yang perlu dikenali dan dipelihara dan sebagai medium memupuk perpaduan.

“Tidak seharusnya tulisan Jawi dijadikan modal perpecahan dan kebencian sehingga menggugat perpaduan masyarakat disebabkan keegoan sendiri,” ujarnya.

Rabu lalu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersetuju pelajaran tulisan Jawi di sekolah bukan bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam.

Keputusan dicapai selepas gabungan beberapa pertubuhan Cina mengadakan pertemuan dengan Mujahid.

Menerusi kenyataan bersama yang dibacakan oleh Mujahid, kesemua pihak juga bersetuju dengan empat perkara asas yang lain termasuk Dong Jia Zong tidak pernah menentang pembelajaran Jawi sebaliknya hanya menentang kaedah pelaksanaannya yang mana perkara tersebut memerlukan perbincangan konstruktif oleh semua pihak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mujahid ni asik nak menyibuk pasal hal orang lain saja.

    Patut la Atok TAK jemput dia ni masa KL Summit dahulu untuk bentang kertas atau buat apa2 contributan dalam seminar Islam tersebut? Pada hal summit tu lebih relevan dengan skop kerjanya…

Comments are closed.