Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR- Tindakan kerajaan Pakatan Harapan- Warisan melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada orang Sabah telah memakan diri sendiri.

Menurut Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, kekalahan calon Warisan Datuk Karim Bujang merupakan satu tamparan hebat kepada kerajaan dan mereka sepatutnya mula membuka mata.

Jelasnya, kekalahan Parti Warisan Sabah dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis itu adalah disebabkan sikap mereka sendiri yang mungkir janji serta melaksanakan pelbagai dasar yang menghancurkan seperti PSS.

“Kemenangan ini bukan sahaja menyakinkan malah sangat manis kerana kerajaan Pakatan Harapan-Warisan telah menggunakan semua taktik dan tekanan termasuk ancaman, pemberian gula-gula pilihan raya malah memanipulasi cerita dan membuat pelbagai tuduhan terhadap pembangkang.

“Bagi pihak PBS, kami tabik pengundi-pengundi Kimanis di atas kebijaksanaan, keberanian dan keazaman mereka.

“Kami berharap kerajaan Warisan sedar bahawa mereka sudah kehilangan akar umbi di Sabah disebabkan sikap mereka yang mungkir janji dan melaksanakan pelbagai dasar yang menghancurkan terutamanya pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada orang Sabah,

“Terima kasih pengundi Kimanis kerana telah bersuara dan membuat keputusan bagi pihak kesemua rakyat Sabah.

“Ini adalah satu permulaan untuk mengembalikan Sabah ke landasan yang betul,” katanya ketika mengulas mengenai kemenangan calon Barisan Nasional Mohamad Alamin malam tadi.

Tambah Maximus, kemenangan kelima BN dalam PRK itu juga adalah disebabkan kerjasama erat dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Katanya, jentera kempen BN yang terdiri daripada blok pembangkang telah bekerja tanpa rasa penat sejak hari pertama lagi.

Tambah beliau, kemenangan parti pembangkang itu juga adalah satu tamparan hebat serta pembuka mata kepada kerajaan Warisan.- MalaysiaGazette