Pemandangan TRX pada waktu malam.

KUALA LUMPUR – Lendlease Group, pemaju bahagian peruncitan projek The Exchange TRX, menyasarkan untuk mendapatkan 90 peratus daripada bahagian peruncitan di blok pembangunan itu disewa menjelang akhir 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Asia Tony Lombardo berkata setakat ini, bahagian peruncitan TRX telah disewa sebanyak 50 peratus, yang terdiri daripada beberapa penyewa antarabangsa termasuk dari Jepun dan Korea Selatan.

“Bagi ruang pusat beli-belah runcit, setakat ini, kami telah menyiapkan kira-kira 40 peratus daripada struktur bangunan. Kami mencatatkan kemajuan yang baik dalam pembangunan tersebut. Ia dijangka dibuka pada akhir 2021 dan kami juga mencatatkan kemajuan yang baik dari segi penyewaan.

“Kami mempunyai tempoh 24 bulan lagi daripada pembukaan dan kami telah disewa dan dalam rundingan akhir komitmen untuk kira-kira 50 peratus daripada ruang runcit kami. Kami fikir pasaran akan dapat melihat apa yang kami cuba laksanakan melalui projek di sini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara faktor yang menarik penyewa kepada ruang runcit itu ialah taman bandar yang terletak di atas bumbung pusat beli-belah itu seluas 4.05 hektar, yang mewakili ruang komuniti yang hebat dan pelaburan yang besar dalam ruang hijau untuk bandar raya KL.

“Biasanya, sewaan akan berterusan hingga siap (projek tersebut). Pusat beli-belah terkini kami di Singapura, yang telah dibuka sejak Ogos, kira-kira 90 peratus telah disewa pada masa ini, iaitu amat baik berdasarkan persekitaran runcit di seluruh dunia yang agak sukar baru-baru ini, antaranya berikutan peruncitan menyesuaikan dengan dalam talian (platform).

“Kami menjangka hampir 90 peratus (disewa) apabila kami membuka pusat beli-belah itu menjelang akhir tahun depan. Mencatatkan sebanyak 50 peratus disewa pada masa ini (pembangunan) adalah agak baik,” katanya.

Lombardo berkata segmen makanan dan minuman (F&B) di bawah bahagian peruncitan belum dibuka untuk disewa berikutan segmen tersebut sentiasa berubah dan kumpulan itu belum memutuskan mengenai konsep F&B yang terbaik bagi pusat beli-belah tersebut.

Ruang itu dibangunkan oleh Lendlease, sebelum ini dikenali sebagai Lifestyle Quarter projek TRX, terdiri daripada ruang runcit seluas 2.2 juta kaki persegi, yang dapat menampung kira-kira 500 gerai baharu, selain 2,400 pangsapuri di enam menara, hotel dan bangunan ruang pejabat kecil.

Lombardo berkata kumpulan yang berpangkalan di Australia itu meraih kira-kira A$100 bilion nilai pembangunan di peringkat global.

Beliau berkata tumpuan Lendlease Group ialah terhadap projek bandar berskala besar seperti TRX dan syarikat itu mempunyai 21 projek sedemikian yang dibangunkan di seluruh dunia pada masa ini.

Bagi segmen kediaman TRX, katanya projek itu akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Kami merupakan syarikat pembinaan kediaman nombor satu di bandar raya New York bagi projek kediaman bertingkat. Kami mempunyai keupayaan apabila mengenai pembangunan bertingkat. Apa yang kami lakukan ialah kami membawa keupayaan kami ke Malaysia (bagi projek TRX).

“Kami akan membawa apa yang kami lakukan terbaik dalam pasaran antarabangsa selain memastikan kami turut memenuhi keperluan tempatan. Bahagian kediaman akan dibuka kepada pembeli tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Lombardo berkata bahagian kediaman akan dibina dalam enam fasa, dengan fasa pertama terdiri daripada dua menara. Menara pertama dijadualkan siap dalam tempoh 39 bulan atau menjelang 2023.- BERNAMA