KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis malam tadi semakin menyerlahkan hubungan dan kerjasama baik antara Pas dan UMNO dalam blok pembangkang.
Kemenangan itu juga membuktikan Muafakat Nasional yang diterajui dua parti Melayu itu, selain disertai parti pembangkang lain adalah formula terbaik menghadapi Pakatan Harapan (PH) yang lebih didominasi DAP.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam menunjukkan tekad pengundi Sabah untuk terus menolak kerajaan PH.
“Kekalahan PH-Warisan ini, sedang mereka adalah teraju kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri menunjukkan tekad pengundi bukan sahaja di Semenanjung, bahkan di Malaysia Timur untuk terus menolak PH.
“Ini berpunca dari tindakan PH-Warisan tidak menunaikan janji, lemah mentadbir, berkrisis sesama sendiri, di samping gagal mengurus ketidaktentuan ekonomi dan peralihan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, PRK Kimanis semalam adalah pilihan raya kecil kelima peringkat Parlimen yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Dari lima PRK itu, BN memenangi tiga kerusi Parlimen termasuk Cameron Highlands dan Tanjung Piai selain dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semenyih dan Rantau.
Mohd Khairuddin percaya, Muafakat Nasional lebih dipercayai dan diyakini mampu menjadi pesaing serta pengganti lebih baik kepada PH untuk memimpin Malaysia pada PRU-15.
“Walaupun berorientasikan menjaga kepentingan Islam dan Melayu, pendekatannya yang inklusif untuk semua kaum dan penganut agama, mendahulukan kepentingan rakyat dan negara serta berbudaya politik matang telah menjadikan ia semakin diterima oleh semua segmen pengundi di seluruh negara.
“Tahniah BN dan Muafakat Nasional atas kemenangan dengan majoriti 2,029 undi,” katanya.
Keputusan malam tadi menyaksikan, calon BN, Datuk Mohamad Alamin yang mendapat 12,706 undi diumumkan pemenang setelah mengalahkan calon lawannya dari Warisan, Datuk Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi. – MalaysiaGazette
















