KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menyeru kerajaan menamakan pihak-pihak yang berminat dalam pengambilalihan Malaysia Airlines.

Menurut Nufam dalam satu kenyataannya, selain itu pihaknya menekankan proses pembidaan yang adil dan terbuka adalah penting bagi menjaga masa depan syarikat penerbangan itu.

Menurutnya, pekerja syarikat penerbangan yang dibebani hutang itu tidak seharusnya “dikejutkan” oleh berita daripada pihak ketiga, sambil menambah bahawa mereka berhak mengetahui tentang apa-apa pelan pengambilalihan secara langsung.

“Setiap kali kami bertanya tentang kemajuan Malaysia Airlines Berhad (MAB), semua kelihatan terlalu senyap tetapi tawaran sudah berlaku secara senyap. Kenapa begitu rahsia?

“Terdapat keperluan untuk jujur dalam rancangan ini kerana ia adalah kepentingan nasional,” kata Nufam.

Nufam memberi amaran terhadap pengambilalihan oleh Air Asia X Bhd, dengan berkata, syarikat penerbangan itu dan MAB adalah “bom jangka” susulan kekangan kewangan dan kerugian yang dialaminya.

Mereka menggesa Air Asia Group Bhd supaya menjelaskan sebarang pelan penggabungan dengan syarikat penerbangan kebangsaan itu, sambil berkata, pengambilalihan oleh kumpulan hanya akan memberi manfaat kepada mereka.

“Perjanjian itu mungkin untuk mengambil alih laluan antarabangsa MAB sedia ada dan asetnya. Tapi apa yang akan berlaku kepada kru, juruterbang, jurutera dan mereka yang bekerja untuk operasi jarak jauh ini?” soal Nufam.

Nufam berkata, tiada seorang pun daripada pegawainya berunding berhubung cadangan mana-mana penggabungan atau pengambilalihan, sambil menambah bahawa situasi semasa syarikat penerbangan itu juga merupakan hasil kegagalan kerajaan untuk merujuk kesatuan pada masa lalu.

Difahamkan, kerajaan menerima lima cadangan untuk syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines.

Kerajaan mencari rakan strategik bagi syarikat penerbangan yang masih belum pulih daripada dua tragedi pesawat MH370 hilang secara misteri dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Khazanah Aviation Group memiliki sepenuhnya Malaysia Airlines yang mencatatkan kerugian berbilon ringgit sebelum ini.- MalaysiaGazette