KUALA LUMPUR – Pas minta kerajaan Persekutuan menyemak semula tempoh lanjutan 20 tahun konsesi PLUS Malaysia Bhd sehingga tahun 2058.
Meskipun pengurangan kadar tol 18 peratus tanpa bayaran pampasan akan dilakukan bermula 1 Februari ini, namun lanjutan 20 tahun sangat tidak muhasabah.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) gagal menghapuskan tol secara berperingkat, sebaliknya mengambil tindakan populis melanjutkan tempoh konsesi.
Kata beliau, PLUS adalah aset strategik Khazanah Nasional dan harus memikirkan mekanisme terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat.
“Kita percaya tindakan Pengarah Urusan Khazanah Nasional mempertahan PLUS daripada dijual kepada sektor swasta yang lain sebenarnya mempunyai tawaran yang lebih baik.
“Sekiranya dihitung secara logik, rakyat akan terus terbeban dengan kaedah lanjutan tambahan konsesi 20 tahun dan ia tidak selari dengan hasrat awal pengambil alihan PLUS pada tahun 2011 dahulu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan Persekutuan mengambil alih PLUS dari pihak swasta menerusi UEM dan KWSP pada 2011 untuk menstruktur semula perjanjian konsesi berat sebelah yang telah dimeterai sejak tahun 1990-an.
Sekurang-kurangnya, kata beliau, kadar tol PLUS tidak dinaikkan sepanjang 10 tahun lalu dan pampasan kerajaan berjumlah RM6.5 bilion tidak perlu dibayar lagi.
Justeru, katanya, lebih baik Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) komited ke arah hasrat awal pengambil alihan tol dan tidak melanjutkan konsesi selama 20 tahun lagi. – MalaysiaGazette