KUALA LUMPUR – Terbitan kasar bon korporat Malaysia mencatatkan rekod baharu apabila mencapai RM132.8 bilion pada 2019 berbanding RM105.4 bilion pada 2018, dipacu sektor swasta yang pesat, walaupun sebahagian besarnya didorong terbitan sekali oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada RM27.6 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata, terbitan bon korporat pada 2019 mengatasi rekod 2017 pada RM124.9 bilion dan unjuran RAM di antara RM110 bilion dengan RM120 bilion.

“Tanpa mengambil kira terbitan luar biasa UJSB, nilai terbitan sektor swasta berjumlah RM75.5 bilion pada 2019 — lebih tinggi daripada purata lima tahun lepas pada RM64.4 bilion.

“Sektor swasta yang pesat telah mengatasi segmen separa kerajaan yang lebih perlahan dengan nilai terbitan berkurangan kepada RM29.8 bilion daripada RM39.2 billon pada 2018,” menurut Ketua Penyelidikan, Kristina Fong.

Beliau berkata, dalam segmen kerajaan, terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) mencapai RM115.7 bilion, menepati jangkaan RAM di antara RM110 bilion dengan RM120 bilion.

Jelas, penyertaan asing di dalam pasaran bon Malaysia meningkat ketara tahun lepas, dengan aliran masuk asing bersih yang mengagumkan iaitu RM19.9 bilion — aliran masuk terbesar sejak 2012, menurut RAM Ratings.

Faktor menyeluruh tahun lepas adalah penetapan kadar faedah lebih tinggi oleh bank pusat global, terutama Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang mendorong pelabur menumpukan hasil.

“Walaupun ketidaktentuan di seluruh dunia telah memberi tekanan kepada aktiviti pembelian asing, dan ancaman pengecualian Malaysia dari indeks global FTSE-Russell telah mencetuskan aliran keluar yang ketara pada April dan Mei, namun permintaan keseluruhannya kekal positif,” katanya.

Melangkah ke hadapan, RAM Ratings menjangkakan nilai terbitan kasar bon korporat akan mencapai di antara RM100 bilion dengan RM110 bilion pada 2020, berdasarkan pembiayaan sedia ada dan berpotensi yang dirancang.

“Berdasarkan kadar faedah yang agak akomodatif , momentum pembiayaan bon korporat dijangkakan tetap stabil tahun ini, dipacu oleh sektor perkhidmatan kewangan dan keperluan pembiayaan infrastruktur berterusan.

“Terbitan MGS/GII diunjurkan di antara RM115 bilion dengan RM125 bilion pada 2020, mengambil kira keperluan pembiayaan defisit dan pembiayaan semula hutang yang akan matang tahun depan,” katanya.

RAM Ratings turut menjangkakan minat asing berkurangan, disebabkan ketiadaan langkah pengurangan kadar faedah AS selain kemungkinan penurunan sebanyak 25 mata asas ke atas kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia menjelang akhir 2020. – MalaysiaGazette