Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Penguatkuasa Bersepadu dan Lawatan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di NSK Trade City, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dengan terlaksananya Integrated Enforcement Management Systems (IEMS) atau Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu yang dimulakan hari ini akan meringankan tugas pegawai kementerian.

Katanya dengan pelaksanaan sistem baharu ini, pegawai yang menjalankan tugas dalam memantau barang kawalan tidak lagi akan membawa buku kompoun yang sinonim dengan pengawai penguatkuasa KPDNHEP.

“Sistem ini dimulakan di enam negeri di mana pegawai-pegawai penguatkuasa tak lagi kepit buku kompuan celah ketiak. Sekarang sudah beg bimbit dan gajet antaranya telefon bimbit, dan sistem yang merekodkan dan boleh cetak sekali.

“Dulu manual, ditulis bagi satu salinan pada peniaga, balik pejabat kena key in (masukkan data) dalam sistem,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020, di NSK Trade Center, hari ini.

Sistem ini mula berkuatkuasa hari ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Selangor, dan Negeri Sembilan.

Sistem yang memasuki fasa pertama itu dibangunkan untuk menambah baik kaedah pemeriksaan dan kompoun bagi membantu pelaksanaan pengurusan penguatkuasaan secara menyeluruh berdasarkan kepada akta-akta di bawah seliaan KPDNHEP.

Ditanya mengenai sasaran kementerian dalam pelaksanaan sistem baharu ini, Saifuddin Nasution berkata, 700,000 hingga 800,000 kompoun dijangka dikenakan kepada peniaga sepanjang tahun ini.

“Kita didik dulu, purata notis atau pemeriksaan antara 700,000 ke 800,000 kompoun kepada premis setahun, kalau ada.

“Secara purata 3.5 hingga 4 juta setahun, daripada tahun 2016 hingga 2019 sahaja 17 juta kompoun dikeluarkan (menerusi sistem kompoun manual),” katanya lagi.

Antara objektif pembangunan IEMS ini adalah dapat memperkasa dan mempertingkatkan tugas-tugas penguatkuasaan dengan menggunakan teknologi terkini seiring dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Sistem IEMS seterusnya dilihat mampu menambahbaik pengeluaran kompaun yang dilakukan secara manual sebelum ini kepada pengeluaran kompaun secara elektronik dan bersistematik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast