Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar bercakap semasa temubual khas bersama Malaysia Gazette di Grand Seasons Avenue, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bakal melancarkan platform digital ekonomi sosial Islam pada suku kedua tahun ini bagi memastikan sumbangan amal jariah untuk Dana Inspirasi Malaysia dapat diuruskan dengan lebih telus.

Dengan adanya platform tersebut, Dana Inspirasi Malaysia dapat meluaskan pelbagai strategi dalam mendapatkan sumbangan daripada pelbagai sektor dan orang awam.

Malah, platform itu membolehkan dana berkenaan berinteraksi dengan masyarakat khususnya para penyumbangnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, YaPEIM  mahu kewujudan Dana Inspirasi Malaysia seperti Foundation Bill Gates yang begitu telus dalam operasi dan pengurusannya.

Setiap cent dan dolar yang dibelanjakan oleh Foundation Bill Gates diumumkan secara terperinci – contohnya dana yang digunakan untuk pembinaan telaga di Afrika bukan sahaja dimaklumkan kosnya tetapi jumlah penduduk yang mendapat manfaat dan impak rantaian kepada ekonomi juga dilaporkan secara terperinci.

“Inilah yang cuba YaPEIM  laksanakan melalui platform digital ini. Tanpa platform ini, keberadaan Yapeim tidak diketahui oleh masyarakat. Kita juga tidak dapat memberi laporan kepada masyarakat.

“Kita mahu meningkatkan budaya ketelusan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, Mohd Daud berkata, platform digital ini juga akan memudahkan YaPEIM merangka data, benefisiari, profail dan maklumat penerima dan penyumbang dana ini.

Ini kerana, YaPEIM berhasrat untuk memperkenalkan matawang sosial (social currency) kepada penderma dan golongan sukarelawan.

Matawang sosial ini sudah terkenal di Eropah – merupakan satu bentuk penghargaan yang diberikan kepada penderma atau penyumbang.

Katanya, penghargaan itu boleh diberikan dalam bentuk ‘token’ seperti rawatan hospital, penjagaan warga emas atau sebagainya yang boleh digunakan oleh penyumbang Dana Inspirasi Malaysia pada masa depan.

“Katakan ada sukarelawan yang suka membuat kebajikan kepada warga emas setiap minggu, kita hargailah mereka berdasarkan tempoh jam bertugas dengan token ini.

“Token ini berbentuk satu penghargaan seperti memberi keistimewaan rawatan kepada sukarelawan ini, atau penjagaan semasa dia pula menjadi warga emas.

“Kita mahu berikan semua apa yang pernah dia sumbangkan kepada masyarakat. Begitulah konsepnya,’ tambah beliau.

Oleh sebab itu, dengan adanya platform digital ini membolehkan YaPEIM mewujudkan pelbagai inisiatif kepada penerima dan penyumbang dana, sekali gus menggalakkan budaya bersedekah dan menyumbang.

“Ini yang kita namakan situasi menang-menang, yang mana penerima dapat, penyumbang pun memperoleh manfaat. Namun semua itu hanya boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan semua pihak dan ia akan dilakukan secara tersusun dengan adanya platform digital ini nanti,” ujarnya.

Manakala untuk penerima pula, YaPEIM  merancang untuk bekerjasama dengan industri takaful di Malaysia untuk mendapatkan perlindungan kepada penerima bantuan kerana mengharapkan sumbangan semata-mata tidak mampan.

“Semua ini berada dalam kerangka idea YaPEIM yang akan dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette

YaPEIM ajak sektor korporat gembleng Dana Inspirasi Malaysia