Penulis Buku Anwar PM8, Shahbudin Husin bercakap pada "Forum : Tun M Lepas Jawatan Mei 2020?" di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Penulis buku Anwar PM ke-8, Shahbudin Husin mendakwa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memutuskan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, Majlis Presiden PH yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan dan Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disifatkan sebagai ‘ular sawa kenyang’ yang tidak dapat berbuat apa-apa.

“Majlis Presiden PH boleh selesaikan banyak masalah dalam PH contohnya boleh selesaikan masalah siapa calon PM sebelum PRU-14 dulu.

“Malah pembahagian kerusi pun boleh diselesaikan tapi soal peralihan kuasa tidak boleh selesai.

“Ada orang kata Ahli Majlis Presiden macam ular sawa kenyang, jadi sudah malas (nak bangkitkan isu peralihan kuasa). Itu tanggapan orang ramai, tapi ia beri kesan buruk kepada PH, ralat lihat seolah-oleh tidak berfungsi,” katanya pada Bual Bicara Bersama Otai Reformis 1998 di sini malam ini.

Program bertajuk ‘Dr M Lepas jawatan Mei 2020? itu antara lain dihadiri Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad, aktivis NGO Kemanusiaan, Mustapa Mansor, dan Ketua Berita Jom Channel, Dr Siti Aina Omar.

Shahbudin berpandangan, tempoh asal yang dinyatakan sebelum ini oleh Dr Mahathir sendiri untuk memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun adalah tempoh yang paling maksimum.

Malah katanya, PH perlu kembali kepada persetujuan asal untuk tempoh peralihan kuasa adalah dalam tempoh dua tahun.

“Kita kena fokus kepada tarikh asal. Kalau pegang janji bulan Mei yang Mahathir kata dan ketika beliau kata tempoh dua tahun, semua ahli Majlis Presiden PH faham tempoh itu munasabah,” katanya lagi.

Minggu lalu, Mahathir berkata dirinya sedia berundur pada bila-bila masa sekiranya Majlis Presiden PH sebulat suara membuat keputusan untuk beliau berundur.

Katanya, beliau akur melepaskan jawatannya berikutan segala keputusan diputuskan Majlis Presiden PH terdiri daripada empat parti.

Ia ekoran beberapa ahli PKR mendesak Mahathir mempercepatkan peralihan kuasa perdana menteri pada Mei ini kepada Anwar Ibrahim bagi membolehkan Presiden PKR itu mendapat tempoh mencukupi untuk menjalankan sebarang perubahan dalam pentadbiran negara. – MalaysiaGazette