Mohd Saidi Midin, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

BUTTERWORTH – Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek bernilai RM45,472 kepada syarikat milik anak lelakinya, empat tahun lepas.

Mohd Saidi Midin, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Mohd Saidi didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengarah JPNIN Pulau Pinang dengan Gred 52 untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek perkhidmatan sistem EDU KIDS bernilai RM45,472 kepada Syarikat Thekiey Studio milik anak kandungnya, Mohd Al-Azhim Mohd Saidi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat JPNIN Pulau Pinang, Aras 5 Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, George Town antara Mac hingga Disember 2016.

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dii mahkamah sama, Mohd Al-Azhim, 28, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan bapanya membabitkan projek bernilai RM45,472, empat tahun lepas.

Mohd Al-Azhim didakwa bersubahat dengan bapanya, pengarah JPNIN Pulau Pinang yang telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memberikan projek itu kepada syarikat miliknya di tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Subseksyen 23(1) dan Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Azhari kemudiannya membenarkan dua beranak itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Mohd Saidi menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan Mohd Al-Azhim untuk melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM S. Selvaranjini dan Mohamad Azlan Basri manakala peguam Muhamad Asri Abdul Hamid mewakili kedua-dua tertuduh.

— BERNAMA