Zuraida Kamaruddin
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 08 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Sokongan yang disuarakan Ketua Penerangan PKR Sarawak, Desmond Kho terhadap Naib Presiden parti itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan 31 cabang negeri itu.

PKR Cabang Lupar sebaliknya menyokong tindakan Jawatankuasa Disiplin menyiasat Zuraida Kamaruddin yang dipercayai melanggar etika dan mengharapkan parti itu juga akan bertindak pantas dan adil dengan memuktamadkan perkara tersebut berlandaskan perlembagaan.

Justeru Ketua cabang itu, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, semua pihak perlu menghormati tindakan memberikan surat tunjuk sebab kepada Zuraida.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batang Lupar menyokong tindakan Parti menyiasat YB Zuraida Kamaruddin atas tindakan beliau yang dilaporkan melanggar etika dan disiplin parti. Biro disiplin mesti bertindak pantas dengan adil dan saksama berdasarkan kesimbangan merit yang ada.

“Cabang ini juga menyatakan bahawa kenyataan media oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Desmond Kho adalah tidak mewakili dan mencerminkan pendirian kesemua 31 cabang PKR Sarawak. Cabang Batang Lupar masih mengekalkan pendirian mengikut lunas perlembagaan parti.

“Dalam kes YB Zuraida Kamaruddin, laporan ada dibuat dan Parti mempunnyai obligasi membuat siasatan dan tindakan tertentu, jika perlu. Keadilan itu perlu ditegak bukan atas dasar emosi, tetapi peraturan yang sah diperakui oleh ahli parti dan undang undang negara.

“Semua pihak seharusnya menghormati keputusan Jawatankuasa Displin Parti yang memberi surat tunjuk sebab kepada Zuraida yang perlu dijawab olehnya dalam tempoh 14 hari sebelum apa-apa tindakan selanjutnya. Dalam masa yang sama memberi ruang yang secukupkan untuk YB Zuraida membela dari. Saya percaya YB Zuraida akan menjawab pertuduhan pertuduhan itu dengan wajar,” katanya menerusi kenyataan.

Abang Zulkifli turut menyeru ahli PKR bertenang dan membantu parti menangani kemelut itu.

“Saya menyeru supaya ahli parti bertenang dan terus membantu menyelesaikan kemelut dalam parti. Selaku anggota dan pimpinan parti, tindakan kita adalah tertakluk kepada Perlembagaan PKR dan Kod Etika Disiplin Parti; PKR Cabang Batang Lupar memberikan sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada Lembaga Disiplin untuk melaksanakan proses yang sewajarnya,” tambahnya.

PKR Cabang Lupar juga, menurutnya, menolak campur tangan Penggerak Muafakat yang cuba mempengaruhi keputusan Lembaga Disiplin bersabit isu mengaitkan Naib Presiden parti itu sambil menegaskan apa juga tindakan NGO itu tidak mewakili semua ahli PKR.

Cabang parti itu memberi jaminan akan tetap menyatakan sokongan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Struktur dan saluran parti wajar dihormati, bukan menggunakan saluran lain. Penggerak Muafakat tidak mewakili parti mahupun anggota parti.

“Kepimpinan Cabang dan Ranting PKR Cabang Batang Lupar akan terus bersama mendokong kepimpinan PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti yang istiqamah membawa Agenda Reformasi,”kata beliau.

Semalam, Desmond Kho berkata PKR Sarawak menyatakan sokongan penuh terhadap Naib Presiden parti Zuraida Kamaruddin dan berpendapat surat tunjuk sebab yang diberikan Jawatankuasa Disiplin adalah tidak wajar.

Selain itu Penggerak Muafakat Nasional Negeri Perak turut mempertikaikan tindakan PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast