Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap semasa sidang media pada Pelancaran Inisiatif E-Tunai Rakyat di IOI City Mall, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 4.8 juta rakyat negara ini telah memohon program e-Tunai Rakyat sejak dilancarkan pada minggu lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3.5 juta permohonan telah diluluskan.

“Sebanyak RM105 juta sudah dibelanjakan menjadikan lebih 25 peratus daripada RM450 juta yang diperuntukkan untuk program berkenaan sudah digunakan.

“Jadi saya berharap agar tiga syarikat pengendali program itu dapat mempercepatkan kelulusan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke IOI City Mall Putrajaya sempena Pelancaran Inisiatif E-Tunai Rakyat di sini hari ini.

Menerusi program itu, rakyat yang sudah menuntut RM30 daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go perlu menggunakannya sehingga 14 Mac depan.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta diumumkan pada Selasa lalu kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menuntut wang percuma RM30 menerusi tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Guan Eng menambah, kajian awal mendapati, rakyat yang menggunakan e-Tunai Rakyat lebih gemar berbelanja ke atas industri makanan, pengangkutan, barangan runcit dan caj telekomunikasi.

Beliau berharap lebih ramai pemohon akan menyertai program itu untuk menggalakkan pembayaran digital dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette