BANGUNAN ETIQA.

Kuala Lumpur – Etiqa Insurans & Takaful menggesa semua pemegang polisi insurans hayat dan takaful di Malaysia menyediakan butiran waris supaya pembayaran manfaat kematian boleh dibuat segera.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamaludin Ahmad, pada 2019, lebih 10,000 kes tuntutan kematian insurans hayat dan takaful keluarga bernilai RM400 juta telah dibayar oleh syarikat itu.

Daripada jumlah tersebut, 50 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja.

Walau bagaimanapun, peratusan ini boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat mengumpul semua butiran waris pemegang polisi kami.

“Tuntutan kematian perlu diluluskan dan dibayar dengan segera kerana kami maklum bahawa kematian seseorang menjejaskan emosi dan kewangan keluarga.

“Etiqa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya untuk meringankan beban kewangan ahli keluarga yang masih hidup supaya tumpuan dapat diberikan kepada proses pemulihan di saat mereka bersedih,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Kamaludin, pemegang polisi Etiqa digalakkan untuk melayari www.etiqa.com.my/myaccount untuk memuat turun, mengemaskini dan mengemukakan borang penamaan kepada Etiqa.

Pemegang polisi daripada syarikat Insurans dan Takaful yang lain digalakkan untuk menghubungi penyedia masing-masing untuk melakukan perkara yang sama. – MalaysiaGazette