Datuk Hans Isaac. foto IQBAL BASRI, 11 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Sekali lagi Datuk Hans Isaac didesak supaya berundur daripada jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kali ini desakan tersebut datang daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kerana didakwa telah menghina persatuan itu.

Hans dikatakan telah mengaibkan Seniman dan bersikap angkuh apabila mengatakan tidak pernah menerima bantuan daripada persatuan itu selama 28 tahun bergelar anak seni.

Sebaliknya Seniman menerusi kenyataan menegaskan Hans sebagai ahli persatuan tidak aktif dan jarang menghadirkan diri dalam Mesyuarat Agung (AGM) bagi sesi penerangan berkaitan perancangan setiap tahun.

Malah Seniman turut menempelak Hans dengan mempersoalkan sumbangan pelakon itu kepada Seniman selama bertahun-tahun menjadi anak seni.

Lebih buruk tambah Seniman, Hans Isaac semenjak menerajui Finas dilihat gagal bertindak adil kepada semua persatuan industri seni yang pada akhirnya hanya mengeruhkan indusri itu.

“Yang pertama untuk pengetahuan semua, selama 28 tahun pengalaman Datuk Hans Isaac di dalam industri seni dan pengalamannya menjadi ahli Seniman amat jarang sekali Seniman melihat beliau menghadiri Mesyuarat Agung (AGM) yang dilakukan oleh pihak persatuan bagi menerangkan pelbagai laporan mengenai aktiviti serta perancangan persatuan setiap tahun.

“Mana mungkin beliau mengetahui peranan dan tujuan persatuan selama ini sekirannya beliau tidak pernah hadir.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau di mana, Seniman tidak pernah melakukan apa apa kepada ahli-ahli dan dirinya selama ini. Sekirannya Datuk Hans Isaac mempunyai pengalaman yang amat lama di dalam industri seni, kami ingin bertanya apa sumbangan Datuk terhadap Seniman selama ini?

“Kami berpendapat pentadbiran Datuk di dalam Finas adalah tidak mesra persatuan kecuali persatuan yang terpilih sahaja. Sepatutnya sebagai pemimpin didalam agensi Kerajaan tugas utama dan peranan Pengerusi Finas adalah menyatu padukan seluruh Industri Seni di Malaysia?

“Tapi tindakan Datuk selama ini, lebih mengeruhkan keadaan dan perpecahan dikalangan penggiat seni, ia sudah cukup dilihat sangat tidak professional seorang pengerusi cuba memperlekeh dan mengabikan sebuah Persatuan seni yang paling tua di Malaysia serta telah banyak berjasa dan membantu Finas selama ini.

“Justeru itu, untuk menjadi seorang pemimpin perlulah berjiwa besar dan bersedia untuk dikritik dari pelbagai sudut dan kami melihat pentadbiran Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac kini, banyak mendatangkan perkara negatif berbanding positif.

“Oleh yang demikian, Seniman dengan rasa rendah diri mencadangkan supaya Datuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Finas serta merta sebagai tindakan yang lebih terhormat dan mulia daripada melihat Finas hancur sekaligus menyelamatkan Industri Kreatif Malaysia dari terus layu di bawah kepimpinan Datuk.” menurut kenyataan itu.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan daripada kenyataan Hans kepada wartawan Melodi pada minggu lalu ketika ditemubual yang didakwa turut merendahkan ahli Seniman.

Seniman juga berkata tidak menerima peruntukan dana pengurusan daripada Finas yang mengakibatkan persatuan tersebut terpaksa mennjual plat nombor untuk menjana pendapatan.

“Datuk Hans Isaac memperlekehkan persatuan dengan penjualan plat nombor Seniman? Adakah Datuk sedar Persatuan tidak mempunyai sumber bagi membantu ahli-ahlinya? Sejak kebelakangan ini juga Seniman tidak lagi menerima peruntukkan dana pengurusan daripada Finas.

“Mungkin di sini Datuk tidak mempunyai pengalaman mentadbir sebuah Persatuan yang besar dan mempunyai rintangan yang amat mencabar dan adakah Datuk tahu pekara yang paling utama dalam mentadbir sesebuah persatuan atau pertubuhan adalah dari sudut kewangan?” soal persatuan itu lagi.

Sebelum ini, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) pernah menggesa Hans untuk meletakkan jawatan.

Mereka mendakwa Hans gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan industri seni tanah air selain dikaitkan dengan beberapa dakwaan salah guna kuasa.

Hans bagaimanapun enggan melayan gesaan tersebut sebaliknya menegaskan hanya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo layak untuk memecatnya.-MalaysiaGazette