KUALA LUMPUR – Awal pagi ini tular dua rakaman audio dan sekeping gambar menerusi aplikasi Whatsapp berhubung ‘kematian’ seorang lelaki istimewa yang dikenali sebagai Mat Tere.

Suara dalam rakaman audio itu menyatakan Mat Tere atau nama sebenarnya, Muhamad Zul Apis Baharom diserang sakit jantung ketika berada di sebuah stesen bas, dipercayai di Kota Bharu.

Info itu turut menyatakan Mat Tere dikejar ke hospital, tetapi telah ‘meninggal dunia’ dan jenazahnya akan dikebumikan kira-kira jam 4 pagi ini.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette menerima maklumat daripada beberapa kenalan lelaki istimewa itu menafikan perkara berkenaan dan mengesahkan sebagai bahan propaganda lama.

Malah, mereka turut menghantar rakaman video terbaru Mat Tere yang ditemani seorang lelaki, kelihatan marah dengan berita itu.

Beliau dikatakan akan membuat laporan di balai polis Pasir Puteh berhubung berita yang mendakwa dirinya telah meninggal dunia.

“Saya, Mat Tere, ada terima rakaman audio dan sekeping gambar mengatakan saya mati, sebenarnya saya ada (masih hidup). Saya nak buat juga laporan polis di IPD Pasir Puteh malam ini.

“Saya akan serahkan gambar dan rakaman audio ini kepada polis untuk siasat siapa yang nak khianat saya. Padahal saya masih ada,” katanya dalam rakaman video.

Kejadian lama yang menimpa Mat Tere dijadikan berita baharu oleh pihak tertentu dengan dakwaan beliau sudah meninggal dunia.

Mat Tere yang lurus bendul selalu dijadikan ‘mainan’ oleh parti politik tertentu sebagai hiburan, sehingga ada pihak tertentu termasuk ahli keluarganya kurang senang dengan perbuatan sedemikian.

Februari 2017, beliau ditahan polis kerana dikatakan telah menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu klik video, dipercayai ‘mainan’ pihak tertentu untuk bersuka ria.

Namun, yang menjadi mangsa adalah lelaki istimewa ini, yang kehidupan sehariannya mahu keseronokan dan gembira.

Malangnya, kehadiran beliau telah disalahgunakan oleh individu tertentu untuk dijadikan alat memprovokasi parti lawan. – MalaysiaGazette