Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof disaran mempertimbangkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang dikhabar akan dimansuhkan mulai tahun ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemberian subsidi kepada jemaah haji sebelum ini merupakan amalan yang dibuat di zaman Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan.

Beliau menyeru supaya amalan itu diteruskan demi memenuhi keperluan jemaah bagi membolehkan keperluan ‘istitoah’ para jemaah dapat dipenuhi.

“Sebab itulah amalan TH (Tabung Haji) waktu Kerajaan BN sebelum ini, mereka hanya perlu bayar harga subsidi haji RM9,980.

“Mungkin Kekanda YB Mujahid Yusof Rawa akan gunakan alasan ‘istitoah’ atau syarat kemampuan untuk mengerjakan Haji.

“Namun, harus diperingatkan bahawa antara matlamat utama penubuhan TH waktu zaman BN dulu adalah untuk mempermudahkan urusan jemaah Haji Malaysia termasuklah dengan cara memberikan subsidi bagi membolehkan keperluan ‘istitoah’ para jemaah dapat dipenuhi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mujahid dilapor pernah menyatakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberi pemahaman kepada jemaah haji bahawa ibadah itu perlu dilakukan dengan kaedah istitha’ah atau kemampuan.

Artikel berkaitan:Kenapa BN boleh bagi subsidi haji, PH tidak?

Katanya, kerajaan akan merombak atau mengkaji semula pemberian subsidi untuk ibadah itu dan konsep istitha’ah itu juga akan membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung Tabung Haji sebanyak RM400 juta.

Asyraf berkata, TH adalah satu-satunya institusi pengurusan haji terbaik dunia kerana selain daripada menguruskan jemaah haji, mereka juga terlibat dalam pelbagai bentuk pelaburan.

Malah katanya, sebahagian daripada keuntungan dikembalikan dalam bentuk hibah kepada pendeposit, manakala sebahagian yang lain dimanfaatkan dalam bentuk subsidi bagi mengurangkan beban jemaah sekaligus memenuhi keperluan istito’ah mereka.

“Mohon penjelasan dan pertimbangan Kekanda Menteri Haji Dr Mujahid Yusof Rawa agar dikekalkan amalan TH memberikan subsidi penuh kepada jemaah haji kali pertama yang berjaya dalam rayuan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette