Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pegawai penyiasat dari Unit Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman yang mahu mengambil keterangan daripadanya sebagai tidak profesional dan bersifat rasis.

Beliau mendakwa, pegawai tersebut terpengaruh dengan kes yang sedang disiasatnya hingga perwatakannya bertukar menjadi kasar secara tiba-tiba.

Menceritakan kejadian itu Mohd Khairul Azam berkata, beliau telah dihubungi oleh pegawai berkenaan semalam yang memintanya supaya hadir ke Bukit Aman pagi ini untuk diambil keterangan berhubung sebuah rakaman video miliknya yang menjadi tular baru-baru ini.

Katanya, beliau hadir ke ibu pejabat polis berkenaan tepat pada waktunya bagaimanapun telah diberi layanan tidak sepatutnya oleh pegawai berkenaan hanya semata-mata beliau membawa seorang peguamnya.

Malah beliau berkata, pegawai tebut telah menunjukkan sikap berbaur rasis apabila memintanya supaya menanggalkan tanjak yang kebiasaanya menjadi amalan beliau untuk dipakai pada setiap hari Rabu.

“Saya menyatakan kepada beliau bahawa saya berhak untuk berunding dengan peguam kerana ini adalah hak saya yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya juga menyatakan saya berhak untuk memakai tanjak kerana ia juga adalah hak saya yang di jamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Khairul Azam berkata, beliau turut memberitahu kepada pegawai tersebut bahawa tindakannya yang melarang beliau terhadap perkara berkenaan telah menafikan haknya dan ia bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Mohd Khairul Azam menjelaskan, pegawai polis tersebut telah menemplak kata-katanya itu dengan menyatakan beliau tidak ambil peduli terhadap apa yang diperkatakannya.

Malah katanya, pegawai polis terbabit dengan sombong menyatakan bahawa apabila masuk ke pejabatnya beliau perlu mengikut undang-undang terpakai dan tidak dibenarkan membawa peguam bersama.

“Saya kemudiannya meminta beliau (pegawai polis) untuk menghubungi pegawai atasan bagi bercakap sendiri dengan apa yang dimaksudkan namun, Jegathesan enggan menghubungkan saya dengan pihak atasan itu.

“Kemudian saya menyatakan bahawa jika beliau enggan membenarkan saya membawa peguam, saya enggan untuk memberikan apa-apa keterangan dan mahu membuat laporan polis terhadap beliau,” ujarnya.

Katanya lagi, selepas mendengar jawapannya itu Mohd Khairul Azam mendakwa, anggota polis berkenaan telah memaki hamun dan mengugut untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas saya kerana enggan memberikan kerjasama.

“Saya menafikan enggan memberi kerjasama kerana saya telah hadir bersama peguam namun, ASP Jega secara tidak profesional telah menafikan hak Perlembagaan saya dan menyusahkan keadaan sedangkan saya sanggup memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya.

Justeru, Mohd Khairul Azam berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Travers oleh beliau berhubung insiden berkenaan sejurus selepas itu.

Katanya, beliau juga akan membuat aduan sama ke Jabatan Integriti esok sebagai memaklumkan tindakan tidak sepatutnya yang melibatkan perlakuan seorang penjawat.

Tambahnya, apa yang berlaku itu telah memalukan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sepatutnya lebih berhemah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Saya ini seorang peguam janganlah layan saya seperti itu. Saya kecewa dan ingin bertanya, kenapa saya dilayan semacam itu,” soalnya.

Beliau turut meminta Polis DiRaja Malaysia mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat serta menggesa agar badan penguatkuasa undang-undang berkenaan tidak meletakkan seorang pegawai penyiasat yang rasis di sebuah jabatan penting. – MalaysiaGazette

4 Komen

Comments are closed.