Anthony Loke membeli tiket bas di kaunter Terminal Terminal Bersepadu Selatan menggunakan aplikasi Touch 'n Go miliknya.

KUALA LUMPUR – Touch ‘n Go eWallet meluaskan perkhidmatannya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sekali gus menjadikan ia terminal bas tanpa tunai pertama di negara ini.

Ia bagi meningkatkan pengalaman tanpa tunai dalam sektor pengangkutan.

Dengan perkhidmatan itu, Touch ‘n Go eWallet menawarkan alternatif pembayaran mudah dan selamat kepada rakyat Malaysia melalui pembelian tiket bas tanpa tunai.

Perkongsian strategik antara Touch ‘n Go eWallet dan TBS ini dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Perkongsian dengan TBS itu sejajar dengan misi Touch ‘n Go eWallet untuk mendigitalkan industri pengangkutan
dan mempercepatkan aspirasi kerajaan untuk mengubah negara menjadi masyarakat tanpa tunai.

Melangkah ke hadapan, Touch ‘n Go eWallet akan terus mengembangkan perkhidmatannya pada lebih banyak terminal bas dan membawa teknologi canggih dalam landskap pembayaran digital kepada rakyat Malaysia.

“Berikutan pelaksanaan e-Tunai Rakyat, rakyat Malaysia juga boleh menggunakan RM30 untuk membeli tiket bas di TBS yang menampung kira-kira 13,000 pelancong setiap hari,” kata Touch ‘n Go.

Pada masa ini, Touch ‘n Go eWallet mempunyai lebih daripada 125,000 pedagang. – MalaysiaGazette