KUALA LUMPUR- Presiden Kelantan United Football Club (KUFC), Datuk Che Abdullah Mat Nawi memberi jaminan tidak akan ‘gelap mata’ dalam membayar gaji pemain bagi memastikan aspek kewangan pasukan sentiasa berada dalam kawalan.

Biarpun diakui ada banyak aspek perbelanjaan perlu ditingkatkan berbanding ketika berada di Liga M3 musim lalu, beliau sedar itu bukanlah lesen untuk Kelantan United bersikap boros walaupun tahu bukan mudah untuk bersaing di Liga Premier.

Sebaliknya, pendekatan Kelantan United masih kekal biarpun bakal bersaing di pentas Liga Premier iaitu menjadi sebuah platform anak jati serta pemain-pemain muda Kelantan mengasah bakat.

“Kami telah sedari awal perkara ini iaitu dari segi pengambilan pemain termasuk tonggak import dengan ukur kemampuan  baju sendiri dan tidak terlalu terdesak dalam soal mendapatkan pemain bintang.

“Ini adalah semangat umum yang kita ada bagi memastikan kami tidak akan alami masalah dalam soal pembayaran gaji, elaun dan sebagainya kepada pemain pada pertengahan musim.

“Saya lebih cenderung mahu memberi peluang kepada anak-anak muda Kelantan yang menonjol di beberapa kejohanan peringkat negeri untuk diserapkan dalam pasukan serta ada semangat yang tinggi untuk bersaing, ” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Malaysia 2020, baru-baru ini.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong sebelum ini menasihatkan pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak mudah menawarkan ‘bulan dan bintang’ kepada pemain bagi mengelak daripada terjebak dengan masalah kewangan.

Malah, Zolkples berada sedih dengan perkembangan pasukan bola sepak Liga Malaysia yang masih terus dihimpit dengan isu tunggakan gaji pemain sehingga saat ini.

Dalam pada itu, beliau juga berharap pasukan yang mengalami masalah hutang dapat memanfaatkan sepenuhnya pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) untuk menguruskan kewangan mereka ke arah lebih baik.

Mengenai cabaran yang mampu diberikan Kelantan United kelak, Che Abdullah akui banyak perkara perlu dipelajari apabila pasukannya melangkah daripada saingan bertaraf amatur kepada profesional pada musim ini.

Tambahnya, bukan sahaja daripada aspek prestasi atas padang namun dalam melengkapi semua peraturan yang ditetapkan oleh badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Memang saya akui sangat berdebar-debar juga apabila melihat kehebatan pasukan yang bertanding dan ini satu cabaran baharu dalam sejarah bola sepak Kelantan United.

“Malah banyak perkara juga kena kami laksanakan selepas mendengar sesi taklimat dikendalikan MFL namun saya yakin dengan pihak pengurusan kita mampu ikuti semua perkara yang ditetapkan, ” katanya.

Kelantan United buat masa ini telah menandatangani tiga pemain import iaitu Adil Kouskous dari Maghribi serta Alyton Alemeo dari Brazil selain mengekalkan Gassama AlFussainey dari Gambia. – MalaysiaGazette