LONDON – Liverpool terus mempamerkan karektor sebagai bakal juara selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Reds terus selesa di tangga teratas liga dengan kelebihan 16 mata.

Juara Eropah itu yang kini merekodkan 14 kemenangan berturut-turut selepas lebih awal mendahului tuan rumah apabila Jordan Henderson menjaringkan gol pada minit kelapan.

Malah, aksi cemerlang penjaga gol, Alisson Becker pada babak kedua perlawanan menjadi watak penting dalam perlawanan itu.

Liverpool memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka menerusi gol kemenangan yang dijaringkan Firmino ketika berbaki enam minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan anak buah Klopp pada landasan tepat untuk menamatkan kemarau 30 tahun bagi merangkul gelaran liga.

Liverpool telah mencatat 22 kemenangan daripada 23 perlawanan liga musim ini mempunyai baki satu perlawan di tangan ke atas Manchester City.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Wolverhampton terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi selepas pemain tengah, Mane mengalami kecederaan hamstring pada babak pertama. – MalaysiaGazette