Mazli Noor

KUALA LUMPUR – Pas Pusat menyambut baik langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menurun Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75peratus.

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berkata, penurunan itu mampu menyokong permintaan domestik dan merangsang eksport.

Bagaimanapun, katanya, Lajnah itu berpandangan kajian lebih teliti oleh Jawatankuasa Polisi Kewangan (MPC) BNM adalah perlu untuk memastikan ‘perangkap kecairan’ (liquidity trap) tidak berlaku.

Beliau menjelaskan, OPR yang lebih rendah itu hanya akan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara sekiranya kecairan terhasil daripada penurunannya disalurkan secara efektif ke dalam sistem ekonomi negara.

“Untuk mengelakkan berlaku “liquidity trap” ini, dalam beberapa ulasan kami yang lalu, kami menyarankan regim baharu OPR ini harus digunakan sepenuhnya oleh pengguna untuk berbelanja dengan berhemat.

“Manakala pihak industri meningkatkan pelaburan terutama bagi sektor eksport dan langkah itu harus disokong oleh pihak bank dengan meningkatkan lagi pemberian pinjaman bagi menyokong dan meningkatkan agregat permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mazli berkata, walaupun tabungan akan terjejas dengan OPR yang lebih rendah, namun pihaknya berpandangan tabungan harus diteruskan bagi menyokong nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk terus berada dalam regim yang mampan pada keadaan pasaran sekarang kadar pertumbuhan deposit masih mengatasi kadar pertumbuhan pinjaman.

Lajnah itu juga, kata beliau, menjangkakan nilai ringgit akan terus terjejas dengan penurunan OPR itu.

“Walaupun ini mampu menyokong eksport, namun ianya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati, bukan untuk jangka masa panjang.

“Ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, yang rata-rata masih bergantung kepada import, tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast