Pejabat TPM tidak pernah melantik penasihat seperti tular dalam media sosial oleh seornag individu dan laporan polis bakal menyusul.

KUALA LUMPUR – Pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan pelantikan penasihat untuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Penafian tersebut dibuat susulan berita kononnya pemimpin nombor dua kerajaan itu telah melantik individu bernama Raymond Cheah sebagai penasihat.

Terdahulu dalam maklumat yang tular, individu berkenaan telah meletakkan nombor telefon dengan alamat emel yang menggunakan jata Malaysia dalam kad nama tersebut.

Dalam kenyataan media di laman rasmi Facebook Dr Wan Azizah, maklumat itu dinafikan dan ia adalah palsu.

Pejabat TPM dalam kenyataan itu berkata, pihaknya tidak pernah melantik saudara Raymond Cheah sebagai penasihat kepada TPM.

“Sebarang urusan yang melibatkan individu terbabit tidak ada kaitan langsung dengan pejabat TPM mahupun Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Satu laporan polis akan dibuat kerana individu berkenaan telah menyalahgunakan nama baik pejabat Timbalan Perdana Menteri,” kata kenyataan pejabat TPM itu lagi. – MalaysiaGazette