Amirudin Shari

GOMBAK – Kerajaan Selangor menurunkan harga rumah untuk pemilikan asing jenis strata dari RM2 juta kepada RM1.5 juta bermula 1 Januari lalu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, penurunan itu bagi mengatasi lambakan rumah mewah yang tidak terjual selain membantu kitaran dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata, sebagai tambahan, kerajaan negeri turut menawarkan unit banglo, rumah berkembar (semi-D) dan unit-unit yang belum terjual pada harga RM2 juta.

“Keputusan ini disyaratkan kepada lambakan rumah tidak terjual sehingga 2018 dan terhad kepada hartanah berstatus pajakan.

“Selangor sebelum ini antara negeri yang meletakkan harga tertinggi namun ia diturunkan kerana kelembapan industri hartanah.

“Pelaksanaannya melibatkan unit yang sudah mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sehingga tahun 2018 sahaja di mana langkah ini dijangka mampu memudah dan menyelesaikan masalah lambakan rumah yang tidak terjual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Inisiatif Pembaharuan Negeri Selangor di Pejabat Mukim Penghulu Batu hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) pada sidang media mengenai Inisiatif Pembaharuan Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Penghulu Mukim Batu Jalan Sungai Tua, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020

Amirudin menambah, polisi baharu itu akan dilaksanakan selama setahun dan akan dikaji semula selepas tamat tempoh itu dengan mengambil kira perkembangan pasaran hartanah semasa.

“Kerajaan negeri bukan membuat keputusan ini dalam masa satu hari sebaliknya telah mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang menganjurkan bengkel.

“Bengkel melibatkan pertemuan dengan pemaju perumahan dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang mempunyai senarai data perumahan terjual dan tidak terjual di Selangor itu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diputuskan akhir tahun lepas dan pelaksaaanya bermula Januari tahun ini,” katanya.

Amirudin berkata, beliau tidak menetapkan sebarang sasaran penjualan hartanah sebaliknya keputusan itu bagi menyediakan fasiliti kepada pemaju.

“Kadar baharu ini tidak terlalu rendah kerana tujuannya untuk meningkatkan pembelian dan memudahkan pemaju menjual hartanah mereka.

“Kadar baharu ini bukan hanya memberikan kemudahan kepada pemaju tetapi keputusan ini sebenarnya memberikan manfaat kepada kitaran perniagaan di sektor terlibat termasuk binaan, pembekalan, kuari dan perkakasan yang saling berkait,” katanya.

Sementara itu, Amirudin turut memaklumkan kerajaan ini akan meneruskan  dasar pengecualian cukai pintu untuk rumah kos rendah, rumah kampung, juga fi lesen penjaja dan pasar bagi tahun ini.

Jelas beliau, menerusi dasar itu, kos sejumlah RM70.6 juta akan ditanggung Kerajaan Selangor dalam usaha merancakkan inisiatif penambahbaikan berterusan.

“Kerajaan Selangor juga bersetuju agar Dasar Kelulusan 100 Hari akan berkuatkuasa serta merta di mana pentadbiran proses tanah melibatkan kebenaran
merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur) yang biasanya mengambil masa 270 hari dapat dikurangkan kepada 100 hari dengan mengikuti Mekanisme Pembayaran Deposit Premium yang telah digariskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

“Ini pastinya menarik lebih ramai pelabur dan bakal memenuhi tuntutan Perbadanan Produktiviti Malaysia dari segi ‘ease of doing business’.

“Selangor turut beriltizam untuk terus mencari penyelesaian berinovasi bagi menjayakan program merancakkan ekonomi dalam mencapai kemakmuran bersama untuk semua,” katanya.  – MalaysiaGazette