Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kanan) ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (kanan) berbual mesra bersama Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau (dua kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PGRM di Bangunan PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke majlis sambutan Tahun Baru Cina 2020 cukup bermakna buat parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, kesudian Perdana Menteri hadir ke majlis anjuran Gerakan itu merupakan signifikan besar kepada parti bukan berasaskan etnik itu.

Jelas beliau, peluang duduk bersama Mahathir telah digunakan untuk menjelaskan peranan Gerakan sebagai kuasa ketiga selepas menarik diri dari Barisan Nasional.

“Majlis ini adalah satu tradisi parti menjemput Perdana Menteri ke sambutan Tahun Baharu Cina.

“Memang tahun lepas kita jemput dan Tun Dr Mahathir tidak dapat datang tapi tahun ni beliau hadir dan ini memberi maksud yang sangat besar dan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM, Cheras hari ini.

Selain Mahathir, turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dominic memberitahu beliau sempat berkongsi ideologi Gerakan ketika berbual dengan Mahathir.

Jelas beliau, pendekatan parti itu bukan mengikut perkauman dan etnik yang menjadi teras dan perjuangan Gerakan.

”Kita juga mengamalkan kesederhanaan dalam berdepan isu selain memperjuangkan keadilan dan kesakmaan untuk rakyat demi kemakmuran negara ini pada masa depan.

“Saya kongsi semua itu dan Tun M bersetuju kita kena kerja lebih erat lagi,” katanya.

Dominic turut menegaskan Gerakan kini lebih selesa memperkukuhkan kedudukannya sebagai parti politik kuasa ketiga selepas ini dengan mengutamakan ideologi yang diperjuangkan parti itu. – MalaysiaGazette