Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengekang perjalanan masuk warga China ke Malaysia dalam usaha mencegah penyebaran masuk virus tersebut.

Malah, kerajaan turut digesa menangguhkan pemberian 15 hari kemasukan rakyat China tanpa visa ke dalam negara kita demi keselamatan rakyat Malaysia.

Ini kerana secara rasminya, koronavirus sudah berada di Malaysia selepas tiga orang warga China yang positif virus itu telah memasuki negara ini melalui Singapura.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, apa yang terjadi kepada tiga orang rakyat China tersebut harus menjadi pengajaran awal kepada pihak kerajaan untuk mengambil langkah lebih drastik.

“DPIM menggesa kerajaan tidak mempolitikkan isu ini demi keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

“Pencegahan masuk rakyat China ke negara ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-China kerana kerajaan mereka sendiri telah mengumumkan “lockdown” atau penutupan pergerakan keluar masuk dari bandar terbabit ke bandar-bandar lain di negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau turut meminta kerajaan berhenti menggunakan alasan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai sebab tidak menghadkan perjalanan masuk rakyat China memandangkan keselamatan rakyat negara sendiri harus diutamakan.

“Jika difikirkan secara logik, adakah Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya jika ditakdirkan Malaysia terdedah kepada penyakit koronavirus dek kerana tiada sekatan drastik ke atas pelancong China?

“Tiada pelancong akan datang ke negara yang terdedah kepada penyakit yang berbahaya seperti koronavirus,” ujarnya yang mahu kerajaan mendengar rintihan rakyat sendiri dan bukannya menjaga hati negara lain.

Dalam pada itu, Shahir berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia terutama Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang memberikan penerangan cukup menyeluruh dan jaminan kementerian untuk mengekang penularan virus ini. – MalaysiaGazette