Projek solar Berskala Besar (LSS) 50 MegaWatt (MW) milik Tenaga Nasional Berhad di Sepang, Selangor yang mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun pertama ia beroperasi.

KUALA LUMPUR – Projek solar berskala besar (LSS) 50 Megawatt (MW) di Sepang milik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah menjana tenaga lebih 110,000 megawatt jam (MWh) pada tahun pertamanya beroperasi.

Pengarah Urusan TNB Renewables Sdn Bhd (TRe), Ir. Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, loji tenaga solar (SPP) itu telah mengelak pengeluaran 76,000 ton bersamaan karbon dioksida (CO2).

“Dalam erti kata lain, ia bersamaan dengan pemindahan bahan bakar yang dihasilkan oleh kira-kira 36,000 buah kereta di jalan raya Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

SPP itu yang terletak di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, Selangor dibangun dan dimiliki oleh TNB Sepang Solar Sdn Bhd (TSS) yang merupakan subsidiari milik penuh TRe.

Menurutnya, sebagai sebuah logi tenaga solar fotovoltaik (pv) yang terletak di kawasan yang mudah diakses dan berhampiran Lembah Klang, SPP itu telah menjadi lokasi lawatan teknikal yang digemari pelbagai pihak.

Katanya, kemudahan tersebut telah menerima 30 lawatan daripada pelbagai kementerian, agensi, pengawal selia, komuniti kewangan, syarikat, institusi pengajian tempatan dan asing selain masyarakat setempat.

Kini TNB sedang membina sebuah lagi LSS, logi tenaga solar berkapasiti 30 MW di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah yang dijangka siap pada Disember 2020. – MalaysiaGazette