Xi Jinping

BEIJING – Presiden China, Xi Jinping yakin negara ini dapat menangani koronavirus yang telah mengorbankan 106 nyawa dan merebak di seluruh dunia.

Jaminan itu dinyatakan oleh beliau semasa mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hari ini.

Semakin banyak negara sedang merancang untuk memindahkan warga negara mereka dari Wuhan, sebuah pusat bandar yang mempunyai 11 juta orang.

Amerika Syarikat menyewa sebuah pesawat untuk membawa kakitangan konsulat keluar dari Wuhan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Xi mengadakan pertemuan untuk mencari jalan bagi melindungi rakyat China dan warga asing di kawasan yang terjejas dengan koronavirus dan kemungkinan alternatif lain untuk pemindahan.

“China akan memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan mengalu-alukan penyertaan WHO dalam pencegahan virus … Kami percaya WHO dan masyarakat antarabangsa akan memberikan penilaian yang rasional, objektif dan tenang terhadap virus dan China yakin dapat memenangi pertempuran terhadap virus itu,” katanya.

Kebimbangan kesan koronavirus meningkat sehingga China terpaksa mengeluarkan larangan perjalanan dan cuti Tahun Baru Cina yang dilanjutkan.

Koronavirus turut menyebabkan saham global jatuh lagi, harga minyak susut kepada paras terendah tiga bulan dan mata wang yuan China menurun kepada paling lemah pada tahun 2020.

Panel WHO daripada 16 pakar bebas minggu lalu menolak untuk mengisytiharkan kecemasan antarabangsa berikutan wabak itu.
Jurucakapnya berkata, peningkatan dalam kes dan kematian di China tidak semestinya mencetuskan status kecemasan.

Setakat ini, 106 kes kematian tidak direkodkan di luar China.

WHO berkata, setakat ini satu daripada 45 kes di 13 buah negara membabitkan manusia kepada manusia, iaitu di Vietnam.

Tetapi, Jepun mengesyaki ada satu kes membabitkan manusia kepada manusia di negara itu. – MalaysiaGazette