Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada Majlis Amanat Tahun 2020 KPDNHEP di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Presint 2, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau bekalan topeng muka berikutan lonjakan permintaan ekoran penularan wabak koronavirus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pegawai kementeriannya juga melakukan pemeriksaan untuk memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka yang merupakan item yang dikawal harganya.

“Ketika orang ramai berjaga-jaga terhadap penyebaran koronavirus, mungkin terdapat kekurangan bekalan.

“Pegawai kami sedang memantau keadaan pasaran dan jika perlu, kami akan memberitahu kepada pihak pengeluar topeng tempatan untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2020 di kementeriannya di sini hari ini.

Saifuddin berkata, selain topeng buatan tempatan, Malaysia juga mengimport produk dari Eropah dan China.

Mengenai sama ada terdapat kekurangan bekalan makanan berikutan wabak itu, Saifuddin turut memberitahu, perkara itu juga sedang dalam pemantauan oleh pihaknya.

“Sekiranya ada tanda-tanda kekurangan, kami akan mengambil tindakan yang perlu untuk membetulkan masalah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin turut memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga terhadap bahan api berikutan susulan penyebaran virus baru di China itu.

Katanya, Malaysia menggunakan formula yang tetap dalam menentukan harga minyak dan ia mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Kewangan.

“Kita memantau kedudukan harga minya itu dengan dekat kerana itu merupakan tanggunjawab MOF ) Kementerian Kewangan dan KPDNHEP.

“Buat masa ini tidak akan berlaku kenaikan. Kita kekal dengan RM2.08 untuk RON95 yang berubah RON97. Jadi kalau harganya menjunam pengguna RON97 lah yang merasa kenaikan itu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast