Seorang remaja berusia 19 tahun yang dibebaskan bersama bapanya berpelukan selepas menghadiri menghadiri keputusan akhir mengenai kes pendakwaan kes bakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – “Seperti yang diharapkan oleh semua ibu bapa, saya harap anak saya akan menjadi yang lebih baik daripada ini. Itu sahaja harapan saya.”

Itu harapan Tumin Aini kepada anak lelaki yang dibebaskan oleh mahkamah hari ini atas dakwaan membunuh seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berlaku pada 27 September 2017.

Juruukur berusia 56 tahun itu bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak dapat menyembunyikan rasa syukurnya.

Beliau juga kelihatan sebak selepas mahkamah ‘membebaskan’ anaknya yang sebelum itu menjadi tertuduh kedua dalam kes pusat tahfiz terbakar yang menggemparkan negara itu.

Tumin berharap anaknya itu dapat menyambung pelajaran selepas ini tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Salah seorang daripada rakan anaknya pula tertuduh pertama disabitkan kesalahan dan diminta membela diri atas kesalahan yang sama oleh mahkamah hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan kedua-dua remaja itu didakwa atas 23 pertuduhan membunuh seramai 23 penghuni pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori seandainya sabit kesalahan.

Namun pada masa sama tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, 14 September 2017, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian terbabit.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bakar tahfiz: Seorang diarah bela diri, seorang bebas