PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bukan sahaja menerima surat tunjuk sebab oleh pucuk pimpinan parti.
Beliau juga turut menerima surat saman daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perkara itu disahkan oleh Saifuddin apabila memberitahu surat saman yang dikeluarkan peguamnya kepada Zuraida adalah ekoran Ahli Parlimen Ampang itu ada mengeluarkan pertuduhan fitnah kepadanya.
“Selain surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin, saya ada bagi satu lagi surat saman, surat itu dikeluarkan secara peribadi dan tiada kena mengena dengan parti.
“(Surat saman itu mengandungi) ucapan dia yang mengandungi unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya, dan saya minta peguam saya untuk menghantar (surat saman),” katanya kepada pemberita selepas sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Zuraida itu sudah dibalas atau sebaliknya, Saifuddin tidak mengetahui hal berkenaan kerana ia di bawah kuasa Lembaga Disiplin PKR.
“Saya tidak tahu sama ada dia sudah bagi surat atau belum (jawab surat tunjuk sebab), yang saya tunggu dari Zuraida ialah satu surat saman yang diberikan kepadanya, itu sahaja,” ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.
Pada 18 Januari lalu, media melaporkan Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.
Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.
Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama. – MalaysiaGazette